Malaysia dipilih semula sebagai Ahli Majlis Eksekutif Pertubuhan Larangan Senjata Kimia 2024-2026

Bernama
Mei 11, 2024 23:50 MYT
Wisma Putra berkata Malaysia akan terus menyumbang pengalaman dan kepakarannya selaku Ahli Majlis Eksekutif OPCW selama lima penggal, termasuk penggal terkini bagi tahun 2022-2024. - Gambar hiasan/ Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia telah berjaya dipilih semula sebagai Ahli Majlis Eksekutif Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) bagi penggal 2024 - 2026 pada Sesi Ke-28 Persidangan Negara-Negara Pihak Konvensyen Senjata Kimia (CSP-28) di The Hague, Belanda, kata Kementerian Luar (Wisma Putra).
Penggal berkenaan akan bermula daripada 12 Mei 2024 sehingga 11 Mei 2026, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.
"Majlis Eksekutif itu yang terdiri daripada 41 negara anggota OPCW, berperanan penting bagi mengawal selia operasi Sekretariat Teknikal (Technical Secretariat) OPCW serta memastikan pelaksanaan dan pematuhan yang berkesan terhadap Konvensyen Senjata Kimia," kata Wisma Putra.
Menurut kementerian itu, kejayaan pemilihan semula Malaysia ini mencerminkan komitmen teguh dan sumbangan aktif negara bagi membantu OPCW memenuhi mandatnya dalam melaksanakan larangan senjata kimia serta memelihara keamanan dan keselamatan global.
"Malaysia merakamkan penghargaan kepada negara-negara anggota OPCW di atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada Malaysia," katanya.
Wisma Putra berkata Malaysia akan terus menyumbang pengalaman dan kepakarannya selaku Ahli Majlis Eksekutif OPCW selama lima penggal, termasuk penggal terkini bagi tahun 2022-2024.
Malaysia melalui Pihak Berkuasa Kebangsaan Konvensyen Senjata Kimia, bersedia bekerjasama dengan negara-negara anggota dan Sekretariat Teknikal untuk memacu agenda dan matlamat pertubuhan itu untuk kemaslahatan manusia sejagat, katanya.
-- BERNAMA
#Wisma Putra #OPCW #keselamatan global #memacu agenda
;