Malaysia dipertanggungjawab wujud kerjasama ASEAN dengan GCC, Kanada
Bernama
Februari 3, 2023 07:45 MYT
Februari 3, 2023 07:45 MYT
JAKARTA: Malaysia dipertanggungjawabkan untuk mewujudkan kerjasama antara ASEAN dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Kanada, kata Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Peranan Malaysia dalam hal ini dibincangkan semasa mesyuarat antara beliau dengan Setiausaha Agung baharu ASEAN Dr Kao Kim Hourn di pejabat Sekretariat ASEAN di sini pada Jumaat.
"Malaysia dipertanggungjawabkan untuk memastikan kerjasama antara ASEAN dengan GCC dapat kita wujudkan dan laksanakan melalui penganjuran Summit membabitkan ketua-ketua negara tahun ini," katanya kepada media Malaysia.
Malaysia juga akan bertanggungjawab untuk memberikan tumpuan untuk meningkatkan hubungan antara ASEAN dan Kanada, kata Zambry, sambil menambah perkara ini telah dibincangkan di peringkat pegawai tinggi dan akan dibahas lebih terperinci hari ini.
Perkara lain yang turut dibincangkan antara lain berhubung kedudukan ASEAN pada masa kini dan akan datang serta isu-isu yang dihadapi termasuk mengenai Myanmar, agar jalan penyelesaian terbaik secara bersama dapat dicapai.
Sementara itu, Zambry berkata Malaysia akan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Kao agar beliau dapat menjalankan tugasnya dan melaksanakan agenda yang menjadi keutamaan ASEAN.
Pertemuan dengan Kao diadakan dalam rangka agenda sempena siri mesyuarat Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN yang berakhir hari ini.
Kao secara rasmi memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung ASEAN ke-15 pada 9 Jan untuk berkhidmat dari 2023 hingga 2027.
-- BERNAMA