Malaysia dijangka lepasi gelombang Omicron penghujung Mac - Dr Noor Hisham

Astro Awani
Mac 12, 2022 19:34 MYT
Dr Noor Hisham berkata, jangkaan itu berdasarkan tanda-tanda penurunan jangkitan ketika ini. - Bernama
GEORGE TOWN : Malaysia dijangka melepasi gelombang jangkitan varian Omicron COVID-19 menjelang penghujung Mac ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jangkaan itu berdasarkan tanda-tanda penurunan jangkitan ketika ini.
Nor Hisham berkata, negara luar seperti Britain dan Filipina juga sedang dalam trend penurunan selepas berada pada kemuncak penularan Omicron kira-kira sebulan dan dua bulan lalu.
Beliau berkata, berdasarkan pendekatan imuniti kelompok iaitu pemberian vaksin kepada rakyat ketika ini, pihaknya percaya jangkitan harian varian tersebut akan dapat dikurangkan.
Jelasnya, 99 peratus populasi dewasa sudah menerima vaksin COVID-19 manakala hampir tiga juta penduduk pula telah sembuh daripada jangkitan tersebut.
“Cuma ketakutan kita sekarang adalah sekiranya terdapat varian COVID-19 baharu yang lebih berbahaya, mudah tersebar dan kebal terhadap vaksin.
“Jadi, kita perlu bersedia (jangkitan kes), tetapi untuk waktu ini, kita tahu varian varian Omicron memberi tindak balas terhadap vaksin yang kita berikan... ini sesuatu yang baik.
“Jadi kita harap dengan pendekatan imunisasi kelompok yang diambil kerajaan iaitu dengan pemberian vaksinasi, varian Omicron ini dapat dikawal dan kes jangkitan terus menurun sama seperti yang ditunjukkan di negara-negara lain,” jelas Noor Hisham.
BACA: COVID-19: 32,800 kes baharu, 76 lagi kematian dilaporkan
BACA: Vaksin kanak-kanak penting untuk fasa peralihan ke endemik - KKM
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk 'Mendepani Cabaran Omicron; Adakah Malaysia Bersedia' anjuran Penang Institute di George Town pada Sabtu.
Dalam pada itu menurut Dr Noor Hisham, meskipun negara sedang menuju fasa endemik, namun wabak COVID-19 masih disifatkan ancaman terhadap mereka yang tidak mendapatkan vaksin.
"Ia berikutan data-data seperti kadar jangkitan,kemasukan ke hospital, rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), kematian dan sebagainya jauh lebih tinggi dalam kalangan mereka yang tidak mendapatkan vaksin," katanya.
Nor Hisham juga berkata, selain kumpulan antivaksin yang sukar diyakinkan, ada juga golongan yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana mereka bimbang dengan risiko kesihatan jika mengambil vaksin.
#COVID-19 #Dr Noor Hisham Abdullah #Omicron #trend penurunan
;