Malaysia diberi kepercayaan terajui APCERT - CyberSecurity Malaysia
Nickyson Nyambar
Oktober 1, 2021 20:29 MYT
Oktober 1, 2021 20:29 MYT
KUALA LUMPUR : Malaysia dipilih sebagai Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Pemandu kepada Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer Asia Pasifik (Asia Pacific Computer Emergency Response Team - APCERT).
Pemilihan negara menerusi CyberSecurity Malaysia ini dilakukan di mesyuarat agung tahunan APCERT yang diadakan secara dalam talian pada 29 September 2021.
"Dengan pelantikan ini, Malaysia sekali lagi diberi kepercayaan menerajui Jawatankuasa Pemandu APCERT yang turut dianggotai oleh pasukan tindak balas kecemasan komputer dari negara-negara seperti Republik Rakyat China, Jepun, Australia, Republik Korea, Sri Lanka, dan Taiwan," kata CyberSecurity Malaysia menerusi kenyataan pada Jumaat.
Ujarnya lagi, penganjuran mesyuarat tahunan APCERT dapat terus mempromosikan visi mewujudkan ruang siber yang lebih selamat, bersih dan lebih dipercayai di rantau Asia Pasifik melalui kerjasama global.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Anuar Musa, kerjasama global APCERT ini adalah penting dalam menangani ancaman dan serangan siber yang dapat mengancam keselamatan masyarakat sejagat.
"Penglibatan Malaysia melalui CyberSecurity Malaysia di arena antarabangsa amat signifikan kerana ini menunjukkan kesungguhan negara dalam membina keupayaan dan kecekapan untuk mengukuh dan memperkasakan ekosistem keselamatan siber sekali gus mewujudkan ruang digital yang dipercayai dan kondusif melalui perkongsian maklumat, pengalaman dan juga kepakaran," kata beliau.
Tambahnya lagi, platform kerjasama seperti ini pastinya akan menghasilkan penciptaan nilai ekonomi digital serta menjadi hab rujukan bagi memupuk kepercayaan, jalinan persefahaman jangka panjang dan kolaborasi perniagaan antara negara.
Sementara itu, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia Jeneral Tan Sri Panglima Mohd Azumi Mohamed (Bersara) yang hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan APCERT tersebut berkata Malaysia sebagai Pengerusi APCERT amat komited dan akan meneraju kolaborasi dalam menyampaikan perkhidmatan yang dipercayai khususnya dalam menangani serangan siber berskala besar serta mengurangkan impak berkaitan selain memberi tindak balas segera dalam menghadapi insiden siber.