Malaysia di tempat pertama pencemaran udara tertinggi dunia
Nailah Huda
September 18, 2019 06:26 MYT
September 18, 2019 06:26 MYT
Amat malang sekali apabila negara menjuarai statistik global dalam perkara yang tidak diingini.
Susulan epidemik jerebu yang melanda negara sejak beberapa minggu lalu, Malaysia kini berada di kedudukan teratas dalam senarai negara dengan pencemaran udara tertinggi dunia.
Berdasarkan cerapan indeks pencemaran udara (IPU) oleh World Air Quality Index (WAQI) pada Rabu jam 6.20 pagi, Malaysia mencatat bacaan IPU 266.
Ia merupakan bacaan tertinggi di dunia, diikuti Afrika Selatan (217), Indonesia (207), India (194) dan China (178).
Negara jiran seperti Singapura mencatat bacaan IPU 102, sementara Thailand pula 147.
Namun, bacaan IPU mengikut negeri semakin reda hari ini setakat jam 6 pagi memandangkan tiada satu lokasi yang mencatatkan bacaan IPU melepasi tahap berbahaya.
Secara keseluruhan, enam kawasan masih mencatat bacaan IPU sangat tidak sihat termasuk Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sibu dan Sarikei di Sarawak serta Balik Pulau di Pulau Pinang.
Sementara itu, 41 kawasan mencatat bacaan IPU tidak sihat, kebanyakannya di Lembah Klang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kedah dan Sabah.
Semua sekolah dan tadika di Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup selama dua hari bermula hari ini akibat situasi jerebu yang semakin memburuk.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pula akan melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah dalam tempoh cuaca berjerebu yang semakin teruk dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras 200.