Malaysia di tangga teratas peringkat global dalam Skor Konsistensi 5G
Astro Awani
Februari 26, 2024 19:10 MYT
Februari 26, 2024 19:10 MYT
BARCELONA: Malaysia kini menduduki tangga teratas di peringkat global dalam Skor Konsistensi 5G, menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata Malaysia juga melakar kejayaan setelah memperoleh skor cemerlang 94.5 peratus dalam Indeks Pembangunan ICT 2023.
Menerusi laporan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), skor ini menjangkau purata global sekali gus membolehkan Malaysia berada di kedudukan ke-15 peringkat global dan ke-3 di rantau Asean.
“Hingga penghujung 2023, 8.4 juta premis telah memperoleh akses internet berkelajuan gigabit dan purata kelajuan jalur lebar amat membanggakan iaitu mencecah 178.1Mbps dan liputan rangkaian di kawasan berpenduduk mencatatkan 97.07 peratus.
‘’Satu lagi kejayaan pelaksanaan 5G Malaysia ialah menerusi penubuhan Syarikat Tujuan Khas (SPV) untuk mempercepat proses pelaksanaan 5G dan hasilnya, Malaysia mencatatkan 80.2 peratus liputan rangkaian di kawasan berpenduduk,’’ katanya.
Tambahnya lagi, Malaysia bersedia untuk beralih kepada model dwirangkaian dan memacu inovasi serta meningkatkan prestasi rangkaian mudah alih.
‘’Ini mencerminkan Malaysia terbuka untuk menerima teknologi baharu dan memupuk persekitaran yang menggalakkan pertumbuhan serta pembangunan,’’ ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Pavilion Malaysia yang membuat penampilan sulung di Mobile World Congress 2024 (MWC 2024), Barcelona, di sini. .
Penyertaan Malaysia di MWC 2024 diketuai Fahmi sendiri, dengan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak sebagai agensi pelaksana.
Bertemakan “Accelerating A Connected Tomorrow”, Pavilion ini membuka peluang untuk Malaysia menyerlahkan komitmen dan ketersediaan sebagai hab inovasi dalam sektor komunikasi.
Beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) akan ditandatangani yang menumpukan bidang strategik utama dan tidak terhad kepada penyelesaian 5G bertaraf dunia, percubaan lapangan termaju 5G serta pembangunan bakat dalam industri komunikasi.