Malaysia di tangga ke-62 dari 189 negara bagi kategori pembangunan manusia
Rahimah Abdullah
Disember 16, 2020 12:20 MYT
Disember 16, 2020 12:20 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya mencapai kategori pembangunan manusia yang tinggi apabila mencatatkan 0.81 dalam Indeks Pembangunan Manusia (HDI) 2020.
Ia diperoleh melalui Laporan Pembangunan Manusia 2020 yang meletakkan Malaysia di tangga ke-62 daripada 189 negara dan wilayah bagi kategori berkenaan.
Menurut Wakil Residen, Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia, Singapura dan Brunei, Niloy Banerjee, kedudukan negara ini adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya susulan peningkatan purata jangka hayat pada 76.2 tahun dan Pendapatan Negara Kasar Per Kapita AS$27,534 (tahun 2017: AS$27,227)
"Malaysia dilihat berjaya. Kedudukan negara sebenarnya naik satu tangga daripada tangga ke-63 tahun sebelumnya.
"Malaysia juga mencapai 0.81 indeks yang meletakkan pembangunan manusia negara berada di tahap yang sangat tinggi," katanya semasa membentangkan Laporan Pembangunan Manusia 2020 secara maya pada Rabu.
Antara tahun 1990 hingga 2019, nilai HDI Malaysia meningkat sebanyak 26 peratus iaitu daripada 0.64 kepada 0.81.
"Apabila kita mula membuat perkiraan data pada tahun 1990, Malaysia pada ketika itu berada pada kedudukan indeks 0.64," ujarnya.
Bagi tempoh sama, jangka hayat kelahiran bagi rakyat Malaysia meningkat 5.3 tahun, tahun persekolahan meningkat 3.8 tahun, dan jangkaan persekolahan meningkat sebanyak 3.9 tahun.
Pada masa sama, Pendapatan Negara Kasar per kapita Malaysia meningkat sekitar 177.3 peratus antara tahun 1990 dan 2019.
#UNDP
#HDI
#Malaysia
#ekonomi
#Niloy Banerjee
#pembangunan manusia
#Indeks Pembangunan Manusia
#HDI 2020
#Pendapatan Negara Kasar