Malaysia di posisi baik manfaat potensi sebagai pengeluar hidrogen hijau - MOSTI
Bernama
Jun 8, 2023 06:00 MYT
Jun 8, 2023 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan potensinya sebagai pengeluar utama hidrogen hijau berikutan usahanya untuk muncul sebagai peneraju ekonomi hidrogen menjelang 2050, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
Beliau berkata adalah penting untuk menarik pelaburan terhadap pengeluaran, pengagihan dan aplikasi hidrogen hijau untuk menyerlahkan ekonomi hidrogen.
Sambil menyambut baik pelaburan langsung asing hijau China ke Malaysia, beliau berkata sumbangan tersebut akan mewujudkan teknologi tenaga hijau yang lebih mampu milik dan mudah digunakan oleh semua pihak, sekali gus mempermudah peralihan Malaysia kepada ekonomi rendah karbon.
"Antara bidang utama kerjasama di antara Malaysia dengan China adalah bergantung kepada pembangunan hidrogen hijau, sumber tenaga bersih yang boleh digunakan di semua sektor seperti pengangkutan dan penjanaan elektrik.
"Berikutan kos penjanaan tenaga solar dan angin yang semakin berkurangan, wujud peluang yang cerah untuk peningkatan komersial pengeluaran hidrogen hijau dan pemajuan rantaian bekalan yang berkaitan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama pada majlis jelajah di seluruh negara bersempena dengan ulang tahun ke-10 Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di sini hari ini.
Program itu dirasmikan Chang bersama-sama Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Progam yang dianjurkan bersama oleh Pusat Penyelidikan Asia Tenggara bagi Kemanusiaan dan Pusat Kajian Strategik Serantau itu turut menyaksikan acara pemeteraian surat hasrat untuk mewujudkan kerjasama strategik dalam sains, teknologi dan inovasi menerusi BRI.
Sementara itu, Chang berkata kerjasama antara Malaysia dan China menerusi BRI, yang merangkumi pelaburan, penyelidikan dan pembangunan serta pemindahan teknologi adalah penting untuk memacu inovasi dan menangani cabaran berkaitan.
Beliau berkata kerjasama sedemikian dapat membantu merapatkan jurang digital, mendorong produktiviti, menyokong pembinaan kapasiti dan merangsang pembangunan ekonomi, sekali gus menggalakkan keusahawanan dan penghasilan pekerjaan.
"Satu lagi bidang yang mempunyai harapan cerah bagi kerjasama antara Malaysia dan China adalah sekuriti makanan. Menerusi kemajuan China yang ketara dalam teknologi pertanian seperti pertanian persis, jentera pertanian dan teknik pembiakan tanaman, usaha-usaha bersama dapat meningkatkan produktiviti pertanian, memperkukuh sekuriti makanan dan menggalakkan amalan pertanian mampan.
"Kerjasama ini akan membawa manfaat khususnya di kawasan yang menjadikan pertanian sebagai tunjang kepada ekonomi dan punca pendapatan," katanya.
-- BERNAMA