Malaysia di persimpangan COVID-19: Detik dan cabaran masa kini

Nizam Mahshar
Mei 4, 2020 21:18 MYT
Covid-19 pastinya akan mengubah dinamika dan penyataan masalah dalam ekonomi Malaysia serta beberapa analisis situasi yang menjadi asas pembentukan idea Wawasan Kemakmuran Bersama sebelum ini. - Gambar fail
UNTUK menghadapi krisis dalam tempoh pembendungan akibat wabak Covid-19 ini, pendekatan terbaik yang dapat digunakan adalah dengan menjalankan inisiatif yang membolehkan ekonomi membeku; demi mengelak ekonomi semakin gawat atau terus meruntuh. Ini satu-satunya pilihan yang kita ada.
Namun, memandang lebih jauh ke hadapan, kita masih boleh memilih jalan mana yang hendak dilalui selepas ini.
Dalam menilik pelan pasca pembendungan atau pemulihan, kebanyakan pakar ekonomi atau pembuat dasar menjangkakan penyelesaian dapat ditemui menerusi penemuan vaksin yang akan membolehkan lengkungan eknomi V terbentuk atau lebih teruk dalam pembetukan lengkung U, seterusnya dalam kita mengelak daripada berlakunya bencana keruntuhan ekonomi seperti dalam model lengkung L.
Namun, untuk kembali kepada norma lama – ini sebenarnya bukan penyelesaian yang menarik – bahkan tidak akan mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) yang diperlukan dalam menangani kegetiran ekonomi yang kita alami kini. Ekonomi kita kini ibarat katak dalam air mendidih; ada bahaya yang mendatang namun tidak disedari.
WKB bukanlah sekadar retorik, slogan atau omong kosong. Ia sebuah wawasan yang dinamik dan anjal kepada perubahan. Bak kata orang bijaksana; dalam musibah, pasti ada peluang. Ini yang perlu dilihat dalam krisis yang kita alami sekarang. Pasti ada peluang baharu yang tersembunyi.
Covid-19 pastinya akan mengubah dinamika dan penyataan masalah dalam ekonomi Malaysia serta beberapa analisis situasi yang menjadi asas pembentukan idea Wawasan Kemakmuran Bersama sebelum ini.
Cabaran masa kini
Berikut merupakan analisis perkara asas utama serta pengajaran yang boleh diambil daripada perubahan dinamika ekonomi Malaysia akibat Covid-19:
  1. Malaysia mempunyai tahap kerentanan yang tinggi – dapatan jumlah rasmi penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan subsidi gaji menyimpulkan bahawa 5,015,186 isi rumah di Malaysia dan 55.1 peratus tenaga kerja tergolong dalam kategori rentan (atau berisiko tinggi dalam ekonomi) dan sangat terkesan dengan krisis ekonomi. Ini menggambarkan keterdesakan kita untuk merangka strategi agresif bagi membantu majoriti rakyat Malaysia mencapai taraf hidup wajar dan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus isi rumah boleh mempunyai simpanan untuk enam bulan.
  • Kerentanan perniagaan adalah tinggi – respons daripada komuniti perniagaan tentang Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua menyimpulkan dua perkara. Pertama, ada pemikiran pemilik perniagaan yang oportunis dengan cubaan mengalih risiko peribadi kepada kerajaan sambil mengurangkan impak kepada perniagaan mereka yang kebanyakannya demi menyelematkan keuntungan peribadi (bagi kasta 30 peratus perniagaan terbesar). Sementara itu, bagi kebanyakan pemilik perniagaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan 70 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia, penghentian operasi syarikat memberi kesan kepada simpanan, modal dan pekerja-pekerja mereka adalah kemelut yang benar-benar sedang berlaku. Faktor-faktor seperti kekurangan modal, kehilangan pasaran serta ketidakmampuan memenuhi perbelanjaan operasi bulanan telah mengancam perniagaan mereka.
  • Perniagaan tidak adaptif terhadap ekonomi masa hadapan dan isu kemampanan – seperti yang dinyatakan dalam penyataan masalah utama dalam WKB, ekonomi Malaysia masih belum menyesuaikan diri dengan ekonomi digital dan masih terkebelakang dari segi penggunaan teknologi. Pelaburan Langsung Asing (FDI) dalam bidang berteknologi tinggi juga semakin berkurang dari tahun 2010 ke 2018 sebanyak hampir 15 peratus dalam tiga sektor berasaskan teknologi yang utama. Ini menyebabkan ekonomi kita dilihat bergerak secara regresif, ke arah ekonomi konvensional yang bergantung kepada buruh berkemahiran rendah. Dalam tempoh krisis seperti hari ini, kita dapat lihat kepentingan untuk beradaptasi dengan teknologi, manfaat pendigitalan, pembinaan platform untuk perniagaan berasaskan digital dan adaptasi buruh berkemahiran tinggi sangat penting dalam mengurus krisis.
  • Mengalih daripada kebergantungan kepada buruh berkemahiran rendah kepada buruh berkemahiran tinggi – ini satu kemestian. Malaysia adalah sebuah negara membangun yang memberi persaingan sengit kepada negara-negara jiran di rantau Asia Tenggara kerana tenaga kerjanya yang berkemahiran tinggi dan berpendidikan. Namun, ekosistem ekonomi kita kini berada dalam keadaan selesa dan terus menuju ke arah ekonomi yang lebih bergantung kepada buruh berkemahiran rendah. Kita semakin ketinggalan dalam persaingan. Impak Covid-19 di Amerika Syarikat menyaksikan hanya 29 peratus tenaga kerjanya boleh menjalankan kerja dari rumah, dengan 90 peratus daripadanya adalah pekerja yang professional atau berkemahiran. Walau bagaimanapun, kita berhadapan dengan ancaman yang lebih besar iaitu pengangguran. Kadar pengangguran di Amerika Syarikat sejak awal Mac hingga April sudah mencecah 10 peratus daripada keseluruhan guna tenaga mereka dengan jumlah 16.8 juta orang. Kadar ini melebihi kadar pengangguran mereka ketika kegawatan ekonomi berganda pada 1982. Ia tempoh yang mencabar tetapi sebenarnya membuka banyak peluang bagi menyiapkan ekosistem ekonomi kita untuk pekerjaan berkemahiran tinggi lalu meninggalkan era kebergantungan tinggi terhadap buruh asing berkemahiran rendah.
  • Cabaran kemampanan dan keterjaminan – Keteraminan Makanan, Kesihatan, Tenaga dan Ekologi adalah empat sektor utama yang perlu kekal dilindungi dan dijamin ketika menghadapi mana-mana krisis. Purata keluarga di Malaysia berbelanja adalah sekitar RM1,266 untuk makanan setiap bulan. Perbelanjaan ini merangkumi 30 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan isi rumah. Dalam pada itu, secara purata, isi rumah B40 membelanjakan RM852 untuk makanan, atau 37.3 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan. Selain memastikan jumlah wang sebanyak ini ada dalam poket isi-isi rumah, kerajaan juga bertanggungjawab memastikan keterjaminan penghasilan makanan, baik akses mahupun kegunaannya sepanjang krisis. Seperti yang dapat dilihat ketika krisis beras di Malaysia pada 1974 dan 2008, bekalan beras Malaysia sangat bergantung kepada import sebanyak 30 peratus dan kepada BERNAS sebagai pemegang lesen swasta utama. Dalam kenyataan rasmi oleh Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) pada 30 Mac lalu kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, mereka mendakwa pegawai kementerian tidak dapat mengenal pasti lokasi stok simpanan beras oleh BERNAS untuk diberikan kepada pengilang-pengilang bagi proses pembungkusan dan pengedaran. Berbilion ringgit lagi produk makanan lain seperti daging, sayur-sayuran dan buah-buahan yang turut diimport, menyukarkan usaha kita untuk menjadi sebuah negara yang mandiri (self-sufficient). Keselesaan kita menerima produk makanan import yang murah telah mengakibatkan situasi keterjaminan makanan kita bagai telur di hujung tanduk. Kebergantungan kita terhadap produk makanan import yang murah terutamanya untuk makanan utama dan ruji perlu diseimbangkan dengan agenda keterjaminan makanan dan pembangunan kapasiti penghasilan produk makanan untuk kegunaan domestik mahupun eksport. Selain keterjaminan makanan, isu keterjaminan dari aspek kesihatan, tenaga dan keselamatan ekologi-iklim turut perlu diperincikan, dan tidak seharusnya sekadar menjadi pemanis mulut ahli politik.
  • Satu lagi isu yang berkaitan adalah untuk membuat perubahan dalam polisi fiskal daripada pendekatan ikat perut kepada mengurus keseimbangan fiskal yang negatif bagi menyokong pertumbuhan sebagaimana yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi.
    Cabaran-cabaran yang kita hadapi kini membuatkan kita berfikir apa yang perlu dan sesuai dalam rencana pemulihan ekonomi selepas tamat tempoh pembendungan akibat wabak Covid-19.
    Sama ada kita akan melangkah ke belakang, kembali kepada norma lama dan terus sengsara dalam ekosistem ekonomi yang bergantung dengan pekerjaan berkemahiran rendah, atau kita memilih satu lagi jalan, iaitu dengan memanfaatkan ruang waktu yang ada ini untuk menekan butang ‘reset’ lalu memulakan proses menangani masalah ekonomi kita untuk bergerak ke arah ekonomi berkemahiran tinggi, pertumbuhan berkualiti, pengagihan yang saksama dan taraf hidup yang wajar serta masa hadapan yang mampan seperti yang diaspirasikan dalam WKB.
    Ketika kita berfikir dan memulakannya, sedarlah bahawa waktu sedang bergulir dan akan terus bergulir.

    * Mohd Nizam Manshar merupakan seorang pemikir ekonomi, aktivis masyarakat, penulis dan berpengalaman luas dalam bidang kepimpinan.
    Beliau pernah mengetuai beberapa organisasi ternama termasuk Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Institut Masa Depan Malaysia (Institut MASA) dan merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Geofizik) dari Universiti Sains Malaysia.
    ** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
    #bantuan rangsangan ekonomi #COVID-19 #Kolumnis AWANI #Malaysia #rakyat Malaysia #sosioekonomi
    ;