Malaysia di landasan tepat untuk terus maju - PM

Bernama
Disember 5, 2023 05:15 MYT
Malaysia berada di landasan tepat untuk terus maju berdasarkan kejayaan mencapai kestabilan politik dan keamanan yang dikecapi dalam tempoh setahun Kerajaan Perpaduan mentadbir negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Gambar fail Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia berada di landasan tepat untuk terus maju berdasarkan kejayaan mencapai kestabilan politik dan keamanan yang dikecapi dalam tempoh setahun Kerajaan Perpaduan mentadbir negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan mempunyai pasukan yang mengutamakan kestabilan politik dengan berusaha memperkenalkan setiap dasar yang jelas untuk meningkatkan keselesaan rakyat dalam pelbagai aspek antaranya kualiti pendidikan, kesihatan dan bantuan terus kepada rakyat secara adil.
"Sekarang tumpulah untuk membangunkan negara dan elakkan daripada unsur-unsur negatif kerana saya yakin kalau ini dapat kita lakukan dalam satu tahun, kita akan dapat tingkatkan Malaysia, lebih harum dan hebat di rantau ini.
Ini (pandangan) pemerhati politik, ekonomi dan pelabur yang semuanya melihat begitu," kata Anwar pada program Wawancara Khas Setahun Bersama Kerajaan MADANI: Tiwikrama Perdana Menteri terbitan TV3 yang disiarkan secara langsung malam tadi.
Perdana Menteri berkata, apa yang penting adalah keselesaan rakyat dan kerajaan komited membantu rakyat yang terkesan berikutan kenaikan harga barang dengan melaksanakan pelbagai langkah antaranya pelaksanaan subsidi bersasar dan meningkatkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Selain itu, Anwar mengakui, kenaikan kos sara hidup sememangnya menjadi masalah namun menerusi usaha payung Rahmah yang diperkenalkan ia dapat membantu rakyat, malah kerajaan berhasrat memperluaskan lagi inisiatif ke lebih banyak kawasan di seluruh negara.
"Kenaikan harga barang ini masalah dunia...sementara kita boleh kawal setakat yang sedaya kita," katanya
Perdana Menteri berkata, kerajaan melihat bantuan tunai adalah lebih baik berbanding pemberian subsidi secara pukal yang turut dinikmati golongan terkaya yang mewakili 10 peratus daripada penduduk negara ini, selain kira-kira 3.5 juta warga asing.
"Dengan penyasaran subsidi lebih banyak faedah yang kita beri suntikan, termasuklah seperti RM100 melalui inisiatif e-MADANI dan kita akan teruskannya," katanya.
'Saya beri jaminan andai kata penarikan subsidi berlaku dan ia memberi kesan kepada rakyat, kita akan tambah STR (Sumbangan Tunai Rahmah) ," katanya
Menyentuh mengenai isu politik negara, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menyifatkan dakwaan kononnya Kerajaan Perpaduan seolah-olah tidak "Melayu" dan menentang agama Islam, sebagai politik fitnah yang menjijikkan.
Sebaliknya, beliau berkata, politik seharusnya dibahaskan berdasarkan dasar, fakta dan angka.
"Soal Bahasa Melayu, kita lebih tegas daripada sebelumnya. Program Jana Wibawa (Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa), saya tidak benarkan orang khianat nama Bumiputera, bagi kepada syarikat Cina, tetapi tender ikut peraturan, sama ada Cina, India, Dayak itu soal lain.
"Amalan sakau-menyakau, saya tidak kira Melayu, Cina atau India, kita kena ambil tindakan yang tegas. Jadi, di mana yang tidak Melayunya?" soal Anwar.
Beliau juga menegaskan, Kerajaan Perpaduan mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman Sabtu lepas, Presiden PKR itu berkata, beliau menerima baik keputusan rakyat, namun kemenangan pembangkang adalah di kubu sendiri.
"Kemenangan (PAS) di Kemaman, saya terima baik keputusan. Itu keputusan rakyat, malah saya ucap tahniah kepada calon yang menang tetapi itu kubu pembangkang. Di kubu kita ada yang menang 100,000 undi, ada yang menang 70,000. Jadi itu bukan pengiraan," katanya.
Perdana Menteri sekali lagi menegaskan pendiriannya bahawa beliau tidak akan bertolak ansur dalam soal rasuah dan dalam tempoh setahun tiada pemimpin pentadbiran kerajaan pimpinannya yang dikesan mengaut kekayaan secara haram.
"Saya bersyukur setahun ini belum ada satu sanggahan (kes) terhadap mana-mana pemimpin yang mengaut kekayaan secara haram. Ini satu rekod yang tidak boleh dimungkiri kenyataannya," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, sebuah Unit Pantau MADANI di bawah Jabatan Perdana Menteri akan diwujudkan untuk melihat keberkesanan inisiatif yang diumumkan dan memastikan pelaksanaannya tidak hambar. - BERNAMA
#PM Anwar Ibrahim #malaysia di landasan tepat #Kerajaan Perpaduan #inisiatif e-MADANI
;