Malaysia di landasan tepat raih pertumbuhan ekonomi - Stanchart

Bernama
April 15, 2024 07:30 MYT
StanChart berkata pemulihan segmen pelancongan dalam negara akan mengurangkan defisit perdagangan dalam sektor itu. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka meningkat kepada 4.8 peratus pada 2024 berbanding 3.7 peratus dalam tahun sebelumnya berikutan permintaan luaran yang terus pulih secara sederhana bagi suku-suku akan datang, kata Standard Chartered Bank Malaysia Bhd (StanChart).
Dalam laporannya Global Focus - Economic Outlook Q2-2024 semalam, bank itu berkata eksport meningkat 3.9 peratus tahun ke tahun dalam tempoh dua bulan pertama 2024 yang merupakan pemulihan daripada penguncupan sebanyak 6.9 peratus dalam suku keempat 2023.
"Berdasarkan keadaan itu, pemulihan kluster elektronik yang juga utama, adalah agak perlahan dan menguncup 10.9 peratus pada dua bulan pertama 2024. Kami menjangkakan sektor itu akan meningkat susulan pemulihan elektronik secara meluas," katanya.
Mengulas pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia, StanChart berkata minat terhadap usaha itu kekal menggalakkan dengan jumlah FDI diluluskan mencecah RM188 bilion dalam 2023 iaitu meningkat 15 peratus dengan pelaburan pembuatan menyumbang sebanyak 70 peratus.
Perkembangan itu sepatutnya membantu dari segi menyokong pelaburan secara keseluruhan yang meningkat 5.5 peratus pada 2023.
"Bagi lebihan dagangan Malaysia, nilainya susut kepada RM10.5 bilion bagi dua bulan pertama 2024 berbanding RM17.8 bilion pada 2023, sebahagiannya disebabkan oleh lebihan sektor elektronik dan komoditi yang lebih kecil.
"Kami juga menjangkakan imbangan perdagangan barangan akan bertambah baik pada bulan-bulan akan datang. Lebihan dagangan elektronik sewajarnya seiring dengan pemulihan kitaran teknologi global manakala peningkatan kecil harga minyak sawit mentah telah mendorong kenaikan imbangan perdagangan komoditi dalam tempoh beberapa bulan sebelum ini," katanya.
Menyentuh perkhidmatan, StanChart berkata pemulihan segmen pelancongan dalam negara akan mengurangkan defisit perdagangan dalam sektor itu.
Dari segi dasar perbankan, ia menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus mengekalkan kadar dasar semalaman di tahap tiga peratus pada tahun ini.
Malah, bank pusat itu menerusi kenyataan dasar monetari terkini pada Mac lepas, juga telah menegaskan bahawa pendiriannya pada masa ini adalah bagi menyokong ekonomi.
"Kami yakin BNM akan melangkaui sebarang kesan pengurangan subsidi secara sekali beri dan lebih memberi tumpuan terhadap kesan selepas itu," katanya.
StanChart juga menyifatkan faktor kitaran lebih menyokong perdagangan global susulan permintaan lebih perlahan dari Eropah, Amerika Syarikat dan China dan 2024 dijangka terus mengekang ekonomi yang bergantung kepada perdagangan.
"Berikutan itu, beberapa faktor kitaran lebih ketara sebagai sokongan ke atas perdagangan global. Penguncupan segmen elektronik misalnya berakhir apabila usaha-usaha inventori kembali normal dengan elemen pemacu struktur seperti 'kitaran super' kecerdasan buatan terbukti melonjakkan permintaan teknologi.
"Susulan itu, ekonomi seperti Taiwan, Korea Selatan, Singapura, Malaysia, Thailand dan Vietnam dijangka meraih manfaat daripada perkembangan ini," katanya.
-- BERNAMA
#Standard Chartered #pertumbuhan ekonomi Malaysia #pelaburan #pelancongan
;