Malaysia di landasan tepat dalam peralihan tenaga - Nik Nazmi

Bernama
Mac 10, 2023 12:10 MYT
Nik Nazmi berucap pada Majlis Apresiasi Anugerah Tenaga Kebangsaan di Bukit Kiara pada Khamis. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia berada di landasan tepat dalam usaha peralihan tenaga ke arah tenaga boleh diperbaharui terutama dalam sektor kuasa, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata berdasarkan Indeks Peralihan Tenaga Forum Ekonomi Dunia (WEF), Malaysia berada pada kedudukan ke-39 dengan prestasi sistem dan kesediaan peralihan masing-masing pada 69 peratus dan 60 peratus.
"Indeks itu mengukur kesediaan negara untuk beralih kepada masa depan tenaga yang saksama, lestari dan mampu milik. Ini membuktikan bahawa Malaysia berada di landasan yang tepat dalam peralihan tenaga," katanya berucap pada majlis penghargaan Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2022 di sini malam tadi.
Menurut Nik Nazmi negara mampu dan perlu berusaha melakukan yang lebih baik memandangkan ia memberi kesan kepada generasi akan datang.
"Apabila kita membangun dan mengembangkan ekonomi kita, penggunaan tenaga kita juga berkembang bagi memenuhi pengeluaran dan permintaan yang lebih tinggi. Ini akan menjadi kelaziman dalam industri intensif tenaga seperti pembuatan, kerja industri dan kilang pemprosesan," katanya.
Mengenai NEA 2022, Nik Nazmi berkata ia mengiktiraf pencapaian cemerlang dan amalan terbaik sektor awam dan swasta dalam memacu agenda tenaga lestari negara.
Beliau berkata NEA adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam mempromosikan kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui yang memainkan peranan penting dalam menggalakkan pemilik perniagaan dan bangunan mengamalkan amalan tenaga lestari.
"NEA telah menjadi platform untuk mendidik, mempromosi dan menggalak penggunaan amalan tenaga lestari di pejabat, kilang, bangunan dan institusi kewangan dalam menyokong aspirasi iklim 2050 Malaysia," katanya.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata majlis itu bagi menghargai 23 pemenang dan naib juara pelbagai kategori NEA 2022 yang diumum pada 13 Sept lepas.
Katanya pemenang kemudiannya mewakili Malaysia di Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) dengan 12 syarikat menerima anugerah dalam pelbagai kategori.
-- BERNAMA
#Nik Nazmi #Indeks Peralihan Tenaga Forum Ekonomi Dunia #Tenaga Boleh Diperbaharui #agenda tenaga lestari negara
;