Malaysia dan UAE muktamadkan perbincangan CEPA - Tengku Zafrul

Bernama
Oktober 10, 2024 20:30 MYT
Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjaya memuktamadkan perbincangan bagi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjaya memuktamadkan perbincangan bagi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata perjanjian itu adalah bertujuan untuk menghapuskan atau menurunkan tarif, mengurangkan halangan perdagangan, memupuk kerjasama sektor swasta, dan mencipta peluang pelaburan baharu.
Tengku Zafrul berkata sebagai Perjanjian Perdagangan Bebas yang pertama dan bersejarah bagi Malaysia dengan sebuah negara Anggota Majlis Kerjasama Negara-negara Teluk (GCC), CEPA akan membantu meningkatkan perdagangan, merangsang pelaburan, dan memperdalam hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.
"Kita menganggap UAE sebagai hab strategik bagi pengeksport Malaysia untuk mengakses pasaran di Timur Tengah, Afrika Utara dan beberapa pasaran di Eropah.
"Eksport Malaysia seperti elektrik dan elektronik, mesin, barang kemas, makanan diproses, buah-buahan tropika, minyak sawit, koko dan getah akan menikmati pelepasan cukai import serta-merta apabila Perjanjian ini berkuat kuasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, CEPA juga membuka peluang strategik bagi syarikat yang berpusat di UAE untuk mengoptimumkan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN, yang seterusnya akan menyediakan peluang besar bagi perniagaan Malaysia - terutamanya PKS - melalui integrasi ke dalam rantaian bekalan serantau, pengukuhan kapasiti dan perkongsian pengetahuan melalui pelabur UAE.
"MITI akan bekerjasama rapat dengan Menteri Perdagangan Luar UAE, Dr. Thani Ahmed Al Zeyoudi untuk memastikan ratifikasi dan pelaksanaan CEPA dengan segera," kata Tengku Zafrul.
Sementara itu, Dr Thani berkata CEPA mencerminkan hubungan produktif yang telah berkembang antara UAE dan Malaysia - serta Asia Tenggara secara keseluruhannya.
"Malaysia merupakan rakan perdagangan yang dipercayai, dan seperti UAE, sedang mencari peluang untuk meningkatkan prospek ekonomi melalui peluasan perdagangan dan pelaburan yang disasarkan," katanya.
Beliau berkata sebagai ekonomi keempat terbesar di rantau Asia Tenggara dan dengan pertumbuhan ekonomi pada 2024 dijangka mengatasi unjuran, Malaysia menawarkan peluang yang besar kepada pengeksport, pengusaha industri dan pemimpin perniagaan, terutamanya dalam sektor yang berkembang pesat seperti tenaga, logistik, pembuatan dan perkhidmatan kewangan.
Menurut MITI, Inisiatif CEPA UAE adalah bertujuan untuk meningkatkan perdagangan luar negara bukan minyak kepada US$1 trilion dengan mengukuhkan hubungan dengan pasaran utama di seluruh dunia.
"Strategi yang proaktif ini bukan sahaja meningkatkan hubungan dalam blok ASEAN tetapi juga meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam landskap ekonomi ini, membolehkannya meraih manfaat daripada Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif sedia ada dengan negara Indonesia dan Kemboja untuk merangsang peluang perdagangan dua hala," katanya.
Kementerian itu berkata, CEPA juga menekankan pengukuhan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara, dengan perdagangan dua hala bukan minyak melebihi US$4.9 bilion pada 2023.
Pada separuh pertama tahun 2024, perdagangan bukan minyak mencapai US$2.5 bilion, peningkatan sebanyak 7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.
MITI berkata UAE merupakan rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia di Timur Tengah, menyumbang 32 peratus daripada perdagangan Malaysia dengan negara-negara Arab, manakala Malaysia menduduki tempat ke-12 sebagai rakan perdagangan terbesar UAE di Asia dan kelima dalam kalangan negara ASEAN.
"UAE merupakan pasaran penting, menyumbang 40 peratus daripada eksport barangan Malaysia ke negara-negara Arab, menyerlahkan kekuatan perdagangan Malaysia di rantau itu," katanya.
-- BERNAMA
#Malaysia #UAE #CEPA #Zafrul Abdul Aziz
;