Malaysia dan Turki pilih Islam yang sederhana dan progresif -Najib
Bernama
Januari 11, 2014 08:02 MYT
Januari 11, 2014 08:02 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia dan Turki yang berkongsi kepercayaan, agama dan nilai-nilai yang sama, telah memilih Islam yang sederhana dan progresif.
Beliau berkata kedua-dua negara juga menunjukkan Islam dan demokrasi bukan saling eksklusif tetapi saling bergantung.
"Ketika yang lain akur kepada radikalisme, kita memilih Islam yang sederhana dan progresif. Ketika yang lain semakin menjauhi prinsip demokrasi, kita berkongsi komitmen terhadap semangat dan amalan demokrasi.
"Semua keputusan ini membentuk kisah negara kita dan menjadikan kita dihormati oleh rakan-rakan," katanya dalam jamuan malam rasmi sempena lawatan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia, di Seri Perdana.
Erdogan yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke negara ini berlepas pulang malam ini juga. Lawatan beliau itu amat signifikan sebagai menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-Turki yang wujud pada 1964.