Malaysia dan Mesir sepakat teruskan tekanan heret Israel ke badan perundangan antarabangsa
Astro Awani
Februari 22, 2024 07:14 MYT
Februari 22, 2024 07:14 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Mesir sepakat untuk meneruskan tekanan serta desakan di peringkat global bagi mengheret Israel ke badan perundangan antarabangsa susulan kekejaman yang dilakukan rejim zionis ke atas rakyat Palestin.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, kedua-dua negara juga sepakat untuk mencari penyelesaian gencatan senjata secara kekal selain penyaluran segera bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza.
"Kedua-dua negara sepakat untuk meneruskan tekanan serta desakan di peringkat global untuk mengheret Israel ke badan perundangan antarabangsa bagi kekejaman dan pencabulan undang-undang dan hak asasi manusia ke atas rakyat Palestin.
"Ia termasuk dalam mencari penyelesaian gencatan senjata secara kekal selain penyaluran segera bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza," katanya dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Mesir, Hamdi Loza di Kaherah pada Khamis.
Selain itu, Mohamad dalam pertemuan itu menerangkan kepada rakan sejawatnya bahawa Ops Ihsan adalah usaha bersepadu yang digerakkan oleh Kerajaan Malaysia melibatkan kolaborasi lebih daripada 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah kelolaan Kementerian Luar Negeri.
Katanya, ia adalah sebagai tanda sokongan dan solidariti rakyat Malaysia terhadap musibah yang menimpa rakyat Palestin di Gaza di samping mengetengahkan desakan di pelbagai forum antarabangsa supaya rejim zionis Israel menghentikan kekejaman ke atas rakyat Palestin khasnya di Gaza.
Sebelum menghadiri pertemuan itu, Mohamad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kerjasama Kementerian Luar Mesir mengaturkan panggilan telefon di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Mesir serta lawatan delegasi Malaysia ke Sempadan Rafah pada 23 Februari 2024.
Sementara itu, Mohamad juga berpeluang menyantuni sejumlah 170 orang mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di Mesir sejurus tiba di Kaherah dalam satu sesi dialog.