Malaysia dan Indonesia teliti program pertukaran banduan

Bernama
Disember 10, 2019 20:43 MYT
MUHYIDDIN: Indonesia bersedia melaksanakan program itu namun perlu menyelesaikan beberapa perkara berkaitan perundangan. - Gambar fail
Malaysia dan Indonesia sedang meneliti pelaksanaan pertukaran banduan bagi kedua-dua negara, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata perkara itu dibangkitkan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dalam pertemuan baru-baru ini bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Pertukaran (penghantaran) banduan Malaysia dan Indonesia ini dibangkitkan Presiden Jokowi menerusi program pengurusan kepenjaraan kedua-dua negara," katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa dalam rangka lawatan kerjanya ke Indonesia sejak Isnin.
Pertukaran banduan itu bermaksud penghantaran pulang banduan kedua-dua negara untuk ditempatkan di penjara di negara masing-masing.
Muhyiddin berkata dalam pertemuannya bersama Menteri Hukum (Undang-undang) dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yasonna Laoly, Indonesia bersedia melaksanakan program itu namun perlu menyelesaikan beberapa perkara berkaitan perundangan.
"(Indonesia) belum ada undang-undang atau punca kuasa untuk melaksanakan program itu dan pegawai- pegawai kementerian berkaitan akan memperhalusi cadangan pelaksanaannya nanti," kata Muhyiddin.
Ketika ini terdapat 300 rakyat Malaysia di penjara Indonesia, manakala lebih 5,000 rakyat Indonesia ditempatkan di penjara di Malaysia.
-- BERNAMA
#banduan #Indonesia #Joko Widodo #Mahathir Mohamad #Malaysia #Muhyiddin Yassin #program pertukaran
;