Malaysia dalam posisi kukuh galakkan kerjasama global bina semula Gaza - Penganalisis

Bernama
Februari 2, 2025 19:30 MYT
Malaysia perlu menggunakan sebaiknya peranan sebagai kuasa pertengahan dan Pengerusi ASEAN 2025 dalam usaha diplomasi untuk memastikan keamanan berterusan dapat dicapai di enklaf berkenaan. - Gambar fail/ Reuters
KUALA LUMPUR: Penganalisis percaya Malaysia mampu memainkan peranan untuk mengajak lebih banyak negara bekerjasama dalam membantu pembangunan semula Gaza melalui pendekatan diplomasi.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata pembangunan enklaf terkepung yang lebih 80 peratus musnah itu memerlukan kerjasama kolektif daripada banyak negara.
"Kita tidak mampu untuk membangunkan sepenuhnya Gaza, tetapi kita boleh gunakan langkah demokratik melalui kerjasama dengan negara Teluk yang menyediakan dana dan juga negara-negara lain," katanya kepada Bernama.
Selain dana, Mohd Azizuddin berkata aspek lebih penting yang perlu diberi keutamaan adalah keazaman politik semua pihak terlibat dalam memastikan gencatan senjata yang bermula pada 19 Jan lepas berterusan supaya pembangunan dilaksanakan dengan lancar.
Dalam konteks itu, beliau berkata Malaysia perlu menggunakan sebaiknya peranan sebagai kuasa pertengahan dan Pengerusi ASEAN 2025 dalam usaha diplomasi untuk memastikan keamanan berterusan dapat dicapai di enklaf berkenaan.
Mohd Azizuddin berkata urusan diplomatik dan politik perlu dilaksanakan secara kondusif dan harmoni antara pelbagai pihak atas matlamat untuk membangunkan semula Gaza kerana ia bukan sesuatu yang mudah.
"Kita tahu pembangunan semula Gaza akan melibatkan Hamas, jadi banyak perkara yang negara Barat terutamanya perlu ada tolak ansur dengan Hamas untuk bersama-sama bangunkan semula Gaza," katanya.
Mengenai komitmen kerajaan dalam pembangunan semula Gaza, Mohd Azizuddin berkata semua pihak perlu realistik dalam memberikan kritikan mereka memandangkan penglibatan Malaysia hanyalah satu daripada usaha kolektif antara banyak negara.
"Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membebankan ekonomi sebab kita hendak bina masjid, sekolah dan hospital.
"Usaha ini digerakkan oleh banyak negara, contohnya negara-negara Teluk yang saya rasa akan menjadi penyumbang dana utama untuk pembangunan semula Gaza ini," katanya.
Berkongsi pandangan sama, Prof Jatswan Singh dari Pusat Pengajian Seni Liberal dan Sains Taylor's University berkata Malaysia mempunyai sumber mencukupi sumber untuk menangani isu dalaman.
"Kita perlu menghulurkan bantuan di peringkat antarabangsa di mana ia diperlukan," katanya.
Menjelas lanjut, Jatswan berkata Malaysia boleh memainkan peranan lebih aktif bagi memastikan banyak negara Asia menggembleng tenaga dalam membantu pembangunan semula Gaza termasuk menerusi Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).
Menurut beliau, Malaysia mempunyai kelebihan selepas bersetuju menjadi pengerusi bersama Mesyuarat Peringkat Menteri CEAPAD yang diterajui Jepun pada Julai ini.
"Malaysia perlu menggunakan diplomasinya sebaik boleh untuk mendapatkan lebih banyak negara memulakan misi kemanusiaan dan pembinaan semula Gaza," katanya.
Pada Rabu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Malaysia akan membina sebuah sekolah, hospital dan masjid sebagai usaha permulaan dalam membantu membangunkan semula Gaza.
Bagaimanapun, terdapat segelintir pihak menyanggah usaha Perdana Menteri membantu proses pembangunan semula Gaza dengan menyarankan kerajaan memberi keutamaan untuk menyelesaikan isu dalam negara terlebih dahulu.
-- BERNAMA
#Gaza #pembangunan semula #Malaysia #gencatan senjata
;