Malaysia, China tandatangani MoU tingkatkan ekonomi digital dan hijau - MITI
Hasimi Muhamad
Jun 19, 2024 16:51 MYT
Jun 19, 2024 16:51 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia dan China hari ini bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam Ekonomi dan Perdagangan; serta Ekonomi Digital dan Hijau.
Usaha tersebut dilaksanakan menerusi pemeteraian tiga dokumen utama antara Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dan Menteri Perdagangan China, Wang Wentao.
Pertukaran dokumen berkenaan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Li Qiang di Putrajaya.
Menurut MITI dalam satu kenyataan, dokumen pertama iaitu Program Lima Tahun untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan (2024-2028) akan memperkukuh kerjasama dalam bidang sedia ada termasuk perdagangan dan pelaburan, pembuatan, pertanian, infrastruktur, ekonomi digital, logistik, serta pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
"Perjanjian tersebut juga menggalakkan penyertaan perniagaan dari negara lain, serta dari organisasi pelbagai hala antarabangsa dan institusi kewangan antarabangsa.
"Selain itu, dua Memorandum Persefahaman (MoU) baharu juga telah ditandatangani, dengan tujuan meningkatkan aliran pelaburan berkualiti tinggi dalam bidang ekonomi digital dan ekonomi hijau," menurut kementerian itu hari ini.
Jelas MITI, melalui MoU mengenai Ekonomi Digital, kedua-dua negara berhasrat meneroka kerjasama termasuk infrastruktur rangkaian komunikasi, infrastruktur pintar dan bandar pintar, yang didayakan oleh integrasi teknologi interaktif seperti kecerdasan buatan (AI) dan sambungan 5G.
Sementara itu, MoU Pembangunan Hijau pula bertujuan meneroka kerjasama dalam tenaga bersih, kenderaan tenaga baharu, kewangan hijau, pembinaan infrastruktur mampan serta teknologi hijau.
"Kerjasama ini juga melibatkan penyelidikan dan pembanguna (R&D) seperti penubuhan platform inovasi saintifik dan teknologi untuk mempercepat transformasi hijau kedua-dua negara," kata MITI lagi.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul dalam kenyataan sama berkata pemeteraian tiga dokumen berkenaan menekankan komitmen bersama untuk mewujudkan kerjasama yang stabil, dipercayai dan berdaya tahan demi perkembangan perniagaan dan ekonomi Malaysia-China.
Ujarnya, MITI akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan China dan pihak berkepentingan untuk merealisasikan sepenuhnya hasil daripada kerjasama tersebut.
Mengenai Kerjasama Tetingkap Tunggal dalam Perdagangan Rentas Sempadan pula, Tengku Zafrul berkata MITI mengalu-alukan kerjasama Malaysia-China bagi memperkemas proses kawal selia perdagangan dan memudahkan dokumentasi untuk membolehkan pertukaran maklumat perdagangan secara digital antara pihak berkuasa kastam kedua-dua negara.
"Pertukaran digital seperti ini akan didayakan menggunakan teknologi canggih, termasuk AI dan Blockchain untuk memastikan pertukaran data secara masa nyata, lancar dan tepat, sambil memperluaskan skop perkhidmatan fasilitasi perdagangan kepada pengimport dan pengeksport.
“Inisiatif perdagangan tetingkap tunggal antara Malaysia dan China adalah langkah strategik ke arah meningkatkan keupayaan fasilitasi perdagangan Malaysia dan dijangka mempercepat dan memperkemaskan pergerakan barangan dengan ketara, sambil mengurangkan beban pentadbiran bagi perniagaan," tambah beliau.
Tengku Zafrul berkata langkah tersebut bukan sahaja akan menyokong pertumbuhan perdagangan dua hala, tetapi juga memupuk ketahanan ekonomi antara Malaysia dan China.