Malaysia, China sepakat kekalkan keamanan, kestabilan di Laut China Selatan

Bernama
Disember 4, 2021 20:45 MYT
Malaysia dan China menekankan kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan. - Gambar fail/BERNAMA
ZHEJIANG (China): Malaysia dan China menekankan kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.
Bercakap pada sidang media bersama dengan Menteri Luar China yang juga Ahli Dewan Negara, Wang Yi, di sini pada Sabtu, Saifuddin berkata kedua-dua pihak bersetuju bahawa Laut China Selatan adalah satu bahagian dalam hubungan dua hala kedua-dua negara yang sudah berakar umbi.
"Kami juga telah sepakat dengan kaedah bagaimana kami menyelesaikan isu dan sebagai anggota ASEAN kami menghargai hakikat China juga bekerjasama dengan kami dalam memuktamadkan Kod Tatalaku (CoC)," katanya.
Terdahulu, Saifuddin dan Wang Yi bersama-sama mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Peringkat Tinggi (JPT) Malaysia-China mengenai kerjasama pasca era COVID-19 secara hibrid.
Saifuddin yang dalam rangka lawatan kerja rasmi dua hari ke China berkata Malaysia juga mengikuti rapat perkembangan terkini hubungan Amerika Syarikat-China.
Beliau berkata Malaysia percaya kepada kehidupan bersama yang aman dan ia adalah satu-satunya cara untuk mendukung dan memelihara keamanan yang lebih lestari.
-- BERNAMA
#Malaysia #China #Laut China Selatan #Menteri Luar #Saifuddin Abdullah #wang yi
;