Malaysia-China meterai perjanjian pencalonan bersama tarian singa dalam UNESCO ICH
Bernama
Jun 19, 2024 05:00 MYT
Jun 19, 2024 05:00 MYT
PUTRAJAYA: Malaysia dan China memeterai perjanjian bagi pencalonan bersama tarian singa dalam Perwakilan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) bagi Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) Kemanusiaan serta keahlian Malaysia dalam Alliance for Cultural Heritage in Asia yang diterajui oleh China, menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
MOTAC berkata perjanjian persefahaman itu dicapai kedua-dua negara menerusi memorandum persefahaman (MoU) kerjasama dalam bidang pelancongan dan Perjanjian Program Eksekutif Pertukaran Kebudayaan 2024 hingga 2029 yang ditandatangan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia.
"Satu persembahan teater muzikal Hang Li Po khas oleh Orkestra Traditional Malaysia, Istana Budaya dengan pemuzik dari China turut akan diadakan," menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam selepas majlis pertukaran MoU berkenaan.
Pertukaran dokumen MoU itu disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Li dalam satu majlis di sini semalam.
MOTAC berkata pemeteraian MoU itu akan mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dan China dalam penggalakan dan pemasaran pelancongan; peningkatan kesalinghubungan udara yang menghubungkan destinasi pelancongan utama di Malaysia dan China; pelancongan perniagaan dan promosi serta pembangunan pelancongan berteraskan komuniti dan ekopelancongan.
"Malaysia dan China akan terus meningkatkan kolaborasi dalam bidang pelancongan dan kebudayaan ke arah pembangunan produk serta perkhidmatan industri seni, budaya serta warisan negara melalui perkongsian ilmu dan pertukaran kepakaran," menurut kenyataan itu.
MOTAC berkata pemeteraian MoU itu adalah seiring dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China yang diraikan tahun ini, dalam usaha meningkatkan sinergi dalam bidang kebudayaan dan pelancongan antara kedua-dua negara.
Pada 5 Dis lepas Tiong dilaporkan berkata bilangan pelancong China dan India ke Malaysia diyakini meningkat pada 2024, susulan keputusan kerajaan memberi pengecualian visa selama 30 hari untuk pelancong dari dua negara berkenaan mulai 1 Disember lepas.
-- BERNAMA