Malaysia-China meterai perjanjian pembangunan vaksin selamat, berkesan

Nursyazwani Saiful Sham
November 18, 2020 17:28 MYT
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Khairy dan rakan sejawatannya, Wang melalui majlis yang berlangsung secara dalam talian. Foto: Mosti
KUALA LUMPUR : Malaysia dan China memeterai perjanjian bagi memperkukuhkan kerjasama pembangunan vaksin selain berkongsi kepakaran dan teknologi dalam pembangunan vaksin COVID-19.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Luar dalam kenyataan bersama hari ini, memaklumkan perjanjian tersebut antara lain untuk menjalin kerjasama erat antara kedua-dua negara dalam memerangi pandemik itu.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin dan rakan sejawatnya, Wang Zhigang melalui majlis yang berlangsung secara dalam talian.
"Perjanjian ini akan dikendalikan di bawah seliaan sebuah Jawatankuasa Tertinggi yang akan dipengerusikan oleh kedua-dua Menteri Luar Negeri iaitu dari Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatannya Wang Yi yang mewakili republik itu seperti yang dipersetujui pada 13 Oktober lalu dalam usaha meningkatkan kerjasama pragmatik dan pendekatan yang lebih komprehensif dalam menangani pandemik ini.
"Semasa majlis perjanjian tersebut, Khairy dan Wang bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam menangani pandemik COVID-19 menerusi kerjasama diplomasi sains.
"Perjanjian itu turut memperuntukkan untuk memberikan akses keutamaan kepada Malaysia dalam mendapatkan bekalan vaksin yang dibangunkan oleh China termasuk perkongsian maklumat dan kepakaran serta keupayaan saintifik dan teknologi dalam memajukan pembangunan vaksin di kedua-dua negara," katanya.
BACA: COVID-19: Malaysia hubungi 10 pengeluar vaksin, dijangka umum bekalan dalam masa terdekat - Khairy
Dalam masa sama, kenyataan bersama itu turut menjelaskan kedua-dua negara akan menyokong penyertaan awam dan sektor swasta termasuk universiti, institusi pengajian dan organisasi berkaitan.
"Kedua-dua negara turut bersetuju untuk menyokong dan mendorong syarikat pengeluaran bekalan masing-masing dalam menjalin kerjasama bagi penyelidikan dan pembangunan vaksin," katanya.
Perjanjian awal ini akan berkuat kuasa selama lima tahun dan akan dilanjutkan secara automatik dalam jangka masa panjang setiap tahun setelah dipersetujui bersama oleh kedua-dua negara.
BACA: Malaysia letak harapan tinggi terhadap pengeluar vaksin COVID-19 - Dr Adham
#Hishammuddin Hussein #Khairy Jamaluddin #Kementerian Luar #COVID-19 #vaksin #China #selamat #berkesan #perkongsian kepakaran #maklumat #teknologi
;