Malaysia-China meterai MoU pertukaran serta penghasilan kandungan kreatif

Bernama
September 26, 2024 17:16 MYT
Fahmi berkata, fokus akan diberikan kepada kandungan yang menonjolkan budaya, pelancongan dan makanan kedua-dua negara. - Gambar fail/Bernama
BEIJING: Malaysia dan China akan melaksanakan pertukaran serta penghasilan kandungan kreatif menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang termeterai antara kedua-dua negara hari ini.
MoU tersebut ditandatangani di Beijing secara bersama oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dengan Menteri Pentadbiran Radio dan Televisyen Nasional China, Cao Shumin, yang bertujuan meningkatkan kerjasama dalam bidang media dan penyiaran.
Fahmi berkata, fokus akan diberikan kepada kandungan yang menonjolkan budaya, pelancongan dan makanan kedua-dua negara.
“Saya sudah minta pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) meneruskan perbincangan dengan agensi yang sejawat dengan RTM supaya kita boleh sebagai sebuah negara yang akan mempengerusikan ASEAN mengambil kesempatan menonjolkan Malaysia termasuk kepada penonton di China, juga mengambil kesempatan sempena program Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Fahmi yang kini dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari ke China bermula hari ini berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Resepsi yang dihoskan Kedutaan Malaysia di China hari ini.
Terdahulu, Fahmi mengadakan pertemuan selama hampir sejam dengan Menteri Pentadbiran Radio dan Televisyen (NRTA) China, Cao Shumin di ibu pejabat agensi itu dan membincangkan pelbagai perkara melibatkan kepentingan bersama dalam bidang penyiaran.
Fahmi berharap melalui MoU itu, lebih banyak lagi kerjasama dalam penghasilan kandungan kreatif dapat dicapai, selain penganjuran pelbagai aktiviti dan program bagi mengeratkan lagi persahabatan kedua-dua negara yang menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun ini.
Fahmi berkata, beliau melihat terdapat beberapa format kandungan yang boleh dihasilkan oleh kedua-dua negara.
“Kita ada macam-macam format, memang kalau dari segi drama, kisah cinta, dokumentari, travelog dan foodvlog, saya nampak ada banyak peluang, terutama di kawasan Xian yang majoriti Muslim, bayangkan jumlah rakyat Cina beragama Islam itu jumlahnya sangat besar.
“Ini satu market yang saya rasa kita di Malaysia kita harus kenal pasti dan tonjolkan supaya mereka juga berminat untuk datang ke Malaysia,” katanya.
Fahmi berkata dalam pertemuan itu beliau juga menyuarakan minat berhubung trend baharu ‘micro drama’ yang berdurasi hanya kurang seminit dan kini sangat diminati ramai di China, untuk dipelajari Malaysia.
“Saya difahamkan sudah mula beberapa penonton termasuk di Malaysia yang mengikuti format drama ini iaitu drama yang tempohnya mungkin dalam satu minit, kadang-kurang kurang satu minit dan ia sangat sesuai untuk mereka yang time pergi kerja, balik kerja, time rehat sekejap, ini format yang menarik,” katanya.
Mengulas mengenai lawatan itu, Fahmi berkata kehadiran beliau dan delegasinya diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan sektor telekomunikasi dan teknologi baru seperti satelit, bagi meningkatkan kesalinghubungan negara.
Fahmi dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bersama Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China Jin Zhuanlong, pada sebelah petang ini.
-- BERNAMA
#Malaysia #China #pertukaran kandungan kreatif #MoU #Fahmi Fadzil #RTM
;