Malaysia-China bincang perkukuh kerjasama sektor pendidikan tinggi

Bernama
April 26, 2024 06:30 MYT
Zambry (kiri) mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari China, Huai Jinpeng di Putrajaya, pada Jumaat. - Gambar Facebook Kementerian Pendidikan Tinggi
KUALA LUMPUR: Malaysia dan China membincangkan inisiatif strategik bagi memperluas serta memperkukuh jalinan kerjasama sektor pendidikan tinggi antara Kuala Lumpur-Beijing sempena sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan, perbincangan itu diadakan sempena kunjungan hormat Menteri Pendidikan China, Huai Jinpeng kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir di Putrajaya, pada Jumaat.
"Kedua-dua rakan sejawat tersebut telah bertukar pandangan mengenai landskap dan hala tuju pendidikan tinggi negara serta potensi kerjasama strategik yang boleh diteroka terutama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sosiobudaya dan kolaborasi industri bagi pelajar-pelajar Malaysia melibatkan perusahaan diterajui syarikat dari China antaranya Huawei dan Geely," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut kerjasama penyelidikan dalam sektor teknologi maju seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran, teknologi tenaga hijau, mikrocip serta automotif turut dibincangkan.
Menurut kenyataan itu, Zambry dan Huai berpendapat kerjasama dalam sektor penyelidikan terbabit boleh dipertingkat melalui penubuhan sebuah pusat penyelidikan peringkat nasional antara kedua-dua negara.
Selain itu, kedua-dua pemimpin berkenaan menggalakkan kerjasama strategik terutama antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan China dalam pelbagai program pembangunan sains dan teknologi, perkongsian sumber, data teknikal, fasiliti, latihan, penyelidikan serta dialog ketamadunan.
Menurut KPT, Memorandum Persefahaman (MoU) antara Chinese Service Centre For Scholarly Exchange (CSCSE) dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) turut dimeterai pada sesi pertemuan berkenaan.
Menerusi MoU itu, CSCSE dan MQA akan bekerjasama bagi memudahkan pertukaran maklumat dan kepakaran tentang rangka kerja kelayakan negara, proses akreditasi, mempromosikan kerjasama antarabangsa untuk pengiktirafan kelayakan dan kemahiran yang diperoleh melalui pendidikan tinggi.
"Kerjasama berkenaan akan turut memperkukuh lagi program mobiliti akademik, perkongsian penemuan penyelidikan dan amalan terbaik dalam bidang jaminan kualiti sektor pendidikan tinggi Kuala Lumpur-Beijing," menurut kenyataan itu. - BERNAMA
#Malaysia-China #jalinan kerjasama #sektor pendidikan tinggi #ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik
;