Malaysia-China akan meterai MoU dalam bidang perumahan, bandar pintar - Kor Ming

Bernama
Jun 18, 2024 15:20 MYT
Kor Ming berkata kedua-dua negara dijangka meneroka potensi kerjasama dalam perumahan pintar, pembangunan semula bandar, mobiliti bandar, daya huni bandar, kemampanan bandar dan pemprofilan.
PUTRAJAYA: Malaysia dan China bakal memeterai memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang perumahan, perancangan bandar dan bandar pintar, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Ringkasan AI
  • Malaysia dan China akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang perumahan, perancangan bandar, dan bandar pintar sempena lawatan rasmi Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia dari 18 hingga 20 Jun, yang akan disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • MoU ini bertujuan meneroka potensi kerjasama dalam perumahan pintar, pembangunan semula bandar, mobiliti bandar, daya huni bandar, kemampanan bandar, serta penyelesaian dan perkhidmatan pintar untuk pengoperasian dan pengurusan bandar.
  • Kerjasama ini dijangka memberi manfaat kepada kedua-dua negara melalui perkongsian kepakaran dan teknologi terkini dari China, yang berpotensi meningkatkan pelaburan, pembangunan ekonomi tempatan, dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, serta mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China.

Dalam kenyataan hari ini, Kor Ming berkata pertukaran MoU antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar-Luar Bandar China itu akan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia dari Selasa hingga 20 Jun.
Susulan pemeteraian MoU itu, Kor Ming berkata kedua-dua negara dijangka meneroka potensi kerjasama dalam perumahan pintar, pembangunan semula bandar, mobiliti bandar, daya huni bandar, kemampanan bandar dan pemprofilan.
Kedua-dua negara turut dijangka meneroka penyelesaian dan perkhidmatan pintar untuk pengoperasian dan pengurusan bandar; pembinaan dan pengubahsuaian pintar; perkongsian mengenai pengiktirafan serta pensijilan bandar pintar.
"Melalui MoU ini, kedua-dua negara bakal memperoleh manfaat melalui perkongsian kepakaran dan amalan terbaik serta kerjasama dalam inisiatif dan projek berkepentingan.
"Pertukaran MoU dalam bidang perumahan serta pembangunan urbanisasi ini dilihat sebagai kerjasama strategik dan signifikan antara Malaysia dan China," katanya.
Kor Ming berkata negara juga berpeluang mendapatkan kepakaran dan terknologi terkini berkaitan perumahan serta pembangunan urbanisasi daripada China yang berpotensi meningkatkan nilai pelaburan negara, nilai pembangunan kasar serta mampu menjana ekonomi tempatan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
"Pada masa sama ia dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala sedia ada yang telah terjalin antara Malaysia dan China," kata Kor Ming.
Li yang dijadualkan tiba malam ini mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
Dalam lawatan itu, Li akan mengadakan pertemuan dengan Anwar untuk membincangkan hal berkaitan hubungan dua hala antara Malaysia dan China serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
-- BERNAMA
#Nga Kor Ming #Malaysia #China #bandar pintar
;