Malaysia catat 438 penerbangan mingguan dari China

Bernama
Julai 9, 2024 20:45 MYT
Ketua Pengarah Tourism Malaysia Manoharan Periasamy (tengah) bergambar kenangan pada Majlis Sambutan Penerbangan Sulung Qingdao Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 hari ini. - Foto BERNAMA
SEPANG: Jumlah penerbangan mingguan dari China ke Kuala Lumpur mencecah 438 penerbangan dan dijangka terus meningkat tahun ini, kata Ketua Pengarah Tourism Malaysia P. Manoharan.
Beliau berkata angka tersebut jauh lebih baik berbanding sebelum tempoh pandemik COVID-19 iaitu sekitar 370 penerbangan mingguan dari negara Tembok Besar itu.
"Setakat Julai, kita ada 438 penerbangan seminggu dengan kapasiti tempat duduk hampir 100,000 berbanding sebelum pandemik hanya ada sejumlah 370 penerbangan seminggu.
"Sebelum pandemik kita tidak ada kemudahan seperti pengecualian visa kepada pelancong China, jadi ia merupakan tarikan utama kepada mereka untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan penerbangan sulung Qingdao Airlines ke Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini hari ini.
Malaysia sebelum ini melaksanakan inisiatif pengecualian visa bagi tempoh 30 hari kepada warganegara China dan India mulai 1 Dis 2023 hingga 31 Dis 2024.
Mengulas lanjut, Manoharan berkata bagi tempoh empat bulan pertama 2024, Malaysia telah menerima sebanyak 959,000 pelancong China hasil usaha sama dengan pelbagai agensi untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan rakyat China.
"So setiap kali musim cuti panjang di China, mereka melihat Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang mudah dikunjungi dan ada banyak penerbangan mingguan bukan sahaja dari bandar utama negara itu malah dari kawasan lain juga.
"Tambahan pula dengan musim durian di Malaysia yang turut menjadi tarikan bagi mereka," katanya.
Sementara itu, penerbangan pergi balik Qingdao-Kuala Lumpur dilakukan setiap Selasa, Khamis dan Sabtu dengan waktu penerbangan kira-kira lima jam.
Pembukaan laluan terus dari Qingdao yang terletak di wilayah Shandong itu dijangka membawa masuk 30,000 penumpang sepanjang tahun ke negara ini.
-- BERNAMA
#Malaysia #penerbangan mingguan #China #Tourism Malaysia
;