Malaysia capai dua kejayaan utama dalam Sidang Kemuncak ASEAN - Hishammuddin
Firdaus Azil
November 15, 2020 16:54 MYT
November 15, 2020 16:54 MYT
KUALA LUMPUR: Kelulusan semua negara anggota terhadap Kerangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF), serta kejayaan Malaysia menjadi negara koordinator hubungan ASEAN-Australia, merupakan dua pencapaian utama Malaysia dalam sidang kemuncak kali ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pencapaian itu merupakan manifestasi kepercayaan negara anggota terhadap Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam masa sama, kejayaan itu juga, kata beliau, menyerlahkan keupayaan dan kepimpinan Malaysia dalam usaha memperkasa ASEAN mendepani cabaran serantau, serta global, terutamanya dalam menangani COVID-19.
“Pencapaian paling bermakna bagi Malaysia di sidang ini ialah kesepakatan semua negara ASEAN meluluskan ACRF. Kerangka ini dicadangk sendiri oleh Perdana Menteri ketika Sidang Kemuncak ASEAN + 3 Mengenai COVID-19, pada April lalu.
“Satu lagi pencapaian membanggakan Malaysia ialah pengiktirafan sebagai negara koordinator hubungan ASEAN-Australia, yang mengangkat hubungan kita ke satu lagi tahap penting,” katanya dalam sidang media Penutup Sidang Kemuncak ASEAN Ke-37, di ibu negara hari ini.
Hishammuddin berkata, Australia telah menyatakan penghargaan kepada Malaysia yang berjaya mencapai konsensus dalam kalangan negara anggota ASEAN, bagi membolehkan pemimpin tertinggi ASEAN-Australia bersidang setahun sekali, berbanding dua tahun sekali sebelum ini.
Perkembangan itu, jelasnya, membuka peluang kepada kedua-dua pihak bagi memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Vietnam yang memainkan peranan baik selaku Pengerusi ASEAN 2020 dan penganjur persidangan kali ini.
“Malaysia juga berterima kasih kepada semua negara ASEAN, serta rakan-rakan dialog ASEAN iaitu China, Jepun, Korea Selatan, India, Amerika Syarikat, New Zealand, Australia dan Rusia yang menonjolkan semangat kebersamaan, kesatuan dan kesefahaman jitu sepanjang persidangan ini.
“Malaysia menyifatkan penganjuran kali kedua sidang Kemuncak ASEAN secara persidangan video ini sebagai amat berjaya.
“Di sebalik kekangan untuk bersidang secara bersemuka, persidangan kali ini tetap dapat menghimpunkan kesemua 10 Ketua Kerajaan dan 10 Menteri Luar ASEAN, lapan wakil negara rakan dialog ASEAN dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” katanya lagi.
Hishammuddin berkata, Malaysia juga mengucapkan tahniah kepada Brunei sebagai Pengerusi ASEAN 2021.
Malaysia juga, kata beliau, berikrar akan memberi komitmen dan kerjasama penuh kepada Brunei dalam memastikan setiap usaha ke arah pembangunan komuniti demi kepentingan ASEAN, dapat direalisasikan dengan jayanya.
#Hishammuddin Hussein
#ASEAN
#Muhyiddin Yassin
#ACRF
#Sidang Kemuncak ASEAN
#PBB
#COVID-19
#Malaysia
#Perdana Menteri