Malaysia cadang tubuh pasukan petugas perkukuh pembangunan sektor tenaga dengan Laos

Bernama
September 26, 2024 17:55 MYT
Perkara itu merupakan antara topik yang dibincangkan semasa mesyuarat dua hala bersama antara Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Tenaga dan Galian Laos Phoxay Sayasone. - Gambar fail
VIENTIANE: Malaysia bercadang untuk menubuhkan pasukan petugas bersama Laos bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan sektor tenaga antara kedua-dua negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata berkata perkara itu merupakan antara topik yang dibincangkan semasa mesyuarat dua hala beliau bersama Menteri Tenaga dan Galian Laos Phoxay Sayasone.
Mesyuarat dua hala itu diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-42 yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini.
Beliau berkata pasukan petugas itu akan meneliti pelbagai aspek kerjasama termasuk usaha untuk meningkatkan bekalan tenaga dari Laos ke Malaysia dan penerokaan peluang pelaburan bagi pemain industri negara dalam penjanaan tenaga di negara berkenaan.
Justeru, katanya, beliau berharap memorandum persefahaman (MoU) berkenaan kerjasama itu dapat disempurnakan ketika Malaysia menjadi tuan rumah sidang kemuncak ASEAN 2025.
"Kalau semua terma (dalam MoU) itu dipersetujui dan diharapkan dipersetujui, ia akan memberi kebaikan kepada dua-dua negara," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fadillah turut memaklumkan Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP) kini memasuki Fasa Kedua (2024-2026) dengan Malaysia berperanan membekalkan kuasa elektrik sehingga 100 megawatt (MW) kepada Singapura.
Beliau turut menekankan aspek kerjasama timbal balik dalam LTMS, yang mana negara-negara terlibat boleh saling menyokong ketika menghadapi kekurangan tenaga.
Mengulas mengenai AMEM ke-42, Datuk Seri Fadillah merangkap Naib Pengerusi AMEM berkata ASEAN komited untuk meneruskan kerjasama erat dalam kalangan negara anggotanya termasuk memperkukuh Grid Tenaga ASEAN (APG).
"Persetujuan secara konsensus ialah ASEAN Centre for Energy (ACE) diberi tempoh tiga bulan untuk membuat kajian, perincian dan kemudian mencadangkan kepada Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) bagi memberi panduan dan hala tuju bagaimana kita dapat memuktamadkan APG pada tahun depan," katanya.
Antara yang perlu diteliti termasuklah dari segi kewangan, tadbir urus, perundangan berhubung kait dengan APG, rentas sempadan, urus niaga dan peraturan berkaitan, katanya.
Beliau berkata Mesyuarat AMEM itu turut membincangkan hasrat ASEAN Development Bank dan Bank Dunia yang ingin menjadi menjadi rakan pembangunan tenaga hijau di rantau ini.
--BERNAMA
#Malaysia #laos #tenaga #ASEAN #Fadillah Yusof #APG
;