Malaysia cadang kongsi kepakaran sukan negara anggota OIC

Bernama
September 10, 2022 22:24 MYT
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ia sekali gus memacu pertumbuhan industri sukan negara-negara anggota berkenaan ke tahap lebih tinggi. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia menyeru negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mempunyai kepakaran dalam bidang sukan, agar berkongsi pengalaman serta kemahiran dalam usaha meningkatkan mutu sukan dalam kalangan anggotanya.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata selain dapat menambah bilangan atlet bertaraf dunia dalam kalangan negara OIC, ia juga akan mewujudkan kitaran perniagaan yang lebih kompetitif sekali gus memacu pertumbuhan industri sukan negara-negara anggota berkenaan ke tahap lebih tinggi.
Pandangan itu disuarakannya pada persidangan Menteri-Menteri Belia dan Sukan Islam Sesi Kelima (ICYSM) yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi.
"Pada masa sama, Malaysia turut mencadangkan agar fokus tidak hanya diberikan kepada sukan berprestasi tinggi semata-mata, tetapi tumpuan juga perlu diberikan kepada sukan atau permainan tradisional, yang lebih terarah untuk mengukuhkan hubungan silaturahim, dalam kalangan anggota OIC.
"Malaysia amat percaya sukan adalah pemboleh penting untuk menggalakkan pembangunan dan keamanan, sekali gus merapatkan jurang antara negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Faizal berkata negara anggota OIC turut menyambut baik pengalaman dikongsikan Malaysia dalam usaha pembangunan belia dan sukan, terutama menerusi pelaksanaan Model Pembangunan Belia 2030, yang melihat kedudukan belia berbeza dari segi kehendak dan keperluan pasca pandemik COVID-19.
"Justeru, Malaysia kekal teguh untuk bekerjasama bersama belia di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa. Demi mencapai hasrat ini, langkah inovasi dan pendigitalan, pengukuhan tadbir urus serta penyelidikan akan sentiasa diperhebatkan," katanya.
Selain itu, beliau berkata Malaysia bersyukur kerana cadangan untuk menubuhkan Forum Persidangan Belia Islam (ICYF) di Palestin, yang bertujuan memberi fokus kepada pembangunan, perkongsian idea dan pemerkasaan ekonomi, melibatkan golongan belia negara itu dipersetujui.
"Kewujudan ICYF diharap dapat memastikan lebih banyak penganjuran program serta aktiviti belia di Palestin, sekali gus membina keyakinan serta ketahanan rakyat negara itu dalam menghadapi sebarang bentuk cabaran pada masa kini dan mendatang," katanya.
Persidangan ICYSM yang diadakan dari 7 hingga 9 Sept, membawa tema "Pembangunan Belia dan Sukan Untuk Ummah Berteraskan Perpaduan."
Antara agenda dibincangkan termasuk kaedah untuk membantu membina kapasiti belia dan membangunkan potensi sukan dalam kalangan negara anggota OIC.
-- BERNAMA
#Malaysia #kepakaran sukan negara #oic #pertubuhan kerjasama islam #Kementerian Belia dan Sukan #Ahmad Faizal Azumu
;