Malaysia bukan negara gagal - Mustapa

Muhafandi Muhamad
Julai 10, 2021 15:30 MYT
Mustapa berkata negara yang gagal adalah apabila berdepan pelbagai konflik, huru-hara dan tidak dapat menguruskan pentadbiran dengan baik. - Gambar fail
JELI: Kerajaan tidak gagal sebagaimana laporan sebuah agensi berita antarabangsa sebelum ini. Sebaliknya pentadbiran negara berjalan dengan baik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, negara yang gagal adalah apabila berdepan pelbagai konflik, huru-hara dan tidak dapat menguruskan pentadbiran dengan baik.
"Ada laporan dari Bloomberg mengatakan Malaysia menuju ke sebuah negara yang gagal. Jika sesebuah negara itu gagal maka akan ada rakyatnya yang kebuluran dan sebagainya. Antara negara yang disifatkan gagal sebelum ini adalah seperti Somalia, Myanmar dan beberapa negara di Amerika Latin.
"Kita sudah melakukan yang terbaik dan institusi kita bergerak, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bergerak, pegawai kerajaan semua bekerja seperti biasa dan semuanya berfungsi.
"Kalau kerajaan gagal, maknanya kita lumpuh, tapi negara kita Malaysia ketika ini Alhamdulilah, pentadbiran awam masih seperti biasa," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Terdahulu Mustapa mengagihkan bakul makanan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan pemulihan ekonomi (Pemulih) di Kampung Berdang, di sini hari ini.
Tegas Mustapa lagi, laporan berkenaan tidak benar kerana semua institusi sama ada kerajaan atau swasta masih berfungsi.
Namun katanya, kerajaan mengambil sikap terbuka terhadap pandangan yang dilontarkan itu.
Dalam pada itu, Mustapa menjelaskan perlantikan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Penyelaras bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN) membuktikan kesungguhan kerajaan meningkatkan ekonomi negara.
Pada masa sama dengan adanya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baru dilantik dapat menjalankan peranan bersama dengan baik.
Kerajaan katanya tidak sempurna namun akan terus berusaha dan berbincang supaya krisis ekonomi dan kesihatan dapat diselesaikan dengan segera.
Sebelum ini Bloomberg melaporkan Malaysia berada di tangga tercorot dalam. senarai kemajuan 53 negara yang membuka semula ekonominya di tengah krisis COVID-19.
#Mustapa Mohamed #COVID-19 #Malaysia #ekonomi #KKM #Perdana Menteri #Kementerian Kesihatan
;