Malaysia buka semula kedutaan di Korea Utara
Sinar Harian
Jun 12, 2018 17:25 MYT
Jun 12, 2018 17:25 MYT
Kerajaan memutuskan membuka semula kedutaan Malaysia di Pyongyang, Korea Utara sebagai satu cara menyambung semula hubungan dengan negara tersebut.
“Ya, kita akan membuka semula kedutaan itu (Pyongyang),” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada agensi penerbitan terbesar Jepun, Nikkei Asian Review ketika Persidangan Luar Masa Depan Asia 2018 di Tokyo, semalam.
Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai status kedutaan dan misi Malaysia di negara itu yang masih tergantung serta disifatkan sebagai membuang masa.
Kedutaan Malaysia di Korea Utara menamatkan perkhidmatannya sejak April 2017 susulan kejadian pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Susulan itu, Malaysia mempertimbangkan menutup kedutaannya di Pyongyang secara kekal dan memindahkan kedutaan ke Beijing.
Sementara itu, pada Sidang Kemuncak Amerika Syarikat-Korea Utara hari ini, Dr Mahathir berkata Malaysia tidak boleh ragu-ragu atas keikhlasan Korea Utara dalam rundingannya dengan Barat kerana syak wasangka akan menghalang kerjasama itu.
“Kita patut jaga air muka Korea Utara dan pastikan mereka mengambil bahagian dalam rundingan antarabangsa untuk mengamalkan pendirian besederhana, seperti dasar diamalkan sebelum ini.
“Kita sepatutnya menelitinya sebagai satu tindakan tepat dan cuba mewujudkan hubungan yang baik termasuk hubungan perdagangan dengan Korea Utara,” katanya.
Dr Mahathir menegaskan Korea Utara mempunyai hak untuk mempunyai beberapa kepentingannya seperti AS.
“Sekiranya Korea Utara berjanji untuk meninggalkan senjata nuklear, maka tidak akan ada ketegangan. Pyongyang tidak akan membazirkan wang untuk meningkatkan kuasa ketenteraan kerana ‘ketakutan’ kepada AS dan Korea Selatan,” katanya.
Ditanya mengenai pandangannya terhadap Trump, Dr Mahathir mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa Presiden AS itu sukar difahami kerana sikapnya yang kerap berubah-ubah.
“Kita benar-benar tidak boleh membuat sebarang penilaian terhadap dasar Trump kerana dia boleh mengubah fikirannya,” katanya.
#Kim Jong-nam
#Kim Jong-un
#Korea Utara
#Mahathir Mohamad
#Persidangan Luar Masa Depan Asia
#Pyongyang