Malaysia-Brunei perkukuhkan komitmen kerjasama pertahanan - Mindef

Bernama
Februari 7, 2023 05:00 MYT
Mohamad turut menyampaikan jemputan kepada Sultan Hassanal Bolkiah untuk melawat LIMA'23 yang akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei ini. - Facebook Dato Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan
KUALA LUMPUR: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berkenaan menerima menghadap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan sempena lawatan rasminya ke negara itu, semalam.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef), pertemuan adalah bagi membincangkan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Brunei yang disifatkan sangat produktif merangkumi spektrum yang luas dalam bidang kerjasama dua hala.
Pada pertemuan tersebut, Mohamad turut menyampaikan jemputan kepada Baginda untuk melawat Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA'23) yang akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei ini.
Terdahulu, Mohamad mengadakan kunjungan dengan Timbalan Menteri Pertahanan, Brunei Darussalam, Brig Jen (B) Datuk Seri Pahlawan Abdul Razak Abdul Kadir.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua menteri berkenaan mengakui bahawa lawatan rasmi tersebut adalah bukti ikatan yang kukuh dan dinamik hubungan pertahanan antara kedua-dua negara.
Malaysia dan Brunei berkongsi hubungan dua hala yang telah lama terjalin dan lawatan oleh Mohamad telah memberi peluang untuk mempertingkatkan perkongsian strategik, menurut kementerian itu.
-- BERNAMA
#Mindef #Sultan Hassanal Bolkiah #Mohamad Hasan #kerjasama pertahanan Malaysia-Brunei
;