Malaysia, Brazil, Afrika Selatan tuntut reformasi dalam PBB, perluas kuasa veto - PM

Hasimi Muhamad
November 21, 2024 11:59 MYT
Dalam Sidang Kemuncak G20 pula, Malaysia turut menyuarakan tentang pendirian PBB yang mengizinkan negara melanggarkan ketetapan dalam pertubuhan itu - Foto/Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Malaysia, Brazil dan Afrika Selatan telah mengadakan perbincangan untuk merangka pendekatan baharu dan menuntut agar reformasi dilakukan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan bersama Presiden Brazil, Luis Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa di luar sidang Sidang Kemuncak G20.
Anwar menambah, dalam perbincangan tersebut antara yang disuarakan adalah perluasan kuasa veto kepada wakil Amerika Latin iaitu Brazil, manakala Afrika Selatan mewakili Afrika.
"Kami bertiga berunding secara beransingan untuk merangka strategi (bagi) satu pihak Amerika Latin, satu pihak Afrika dan Asia untuk memberikan pendekatan baharu.
"Kita bantah kedudukan PBB sekarang, dan kita menuntut apa sebut sebagai reformasi PBB dan kuasa veto boleh bukan sahaja kepada negara-negara sedia ada tetapi dikembangkan kepada wakil Amerika Latin iaitu Brazil dan wakil Afrika iaitu Afrika Selatan," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Perdana Menteri berkata, dalam Sidang Kemuncak G20 pula, Malaysia turut menyuarakan tentang pendirian PBB yang mengizinkan pelanggaran ketetapan dalam pertubuhan itu dan membiarkan ia terus berlaku seperti mana dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Gaza.
"Kita juga bicara tentang PBB iaitu badan yang diasaskan untuk mengiktiraf negara merdeka, antipenjajah dan bagaimana negara G20 yang disertai oleh Presiden Amerika Syarikat; Presiden China; dan Perdana Menteri United Kingdom serta banyak lagi.
"Saya kata bagaimana kita boleh bergabung dalam badan dunia yang mengiktiraf satu negara yang menjajah... dan selama ini (kita) melawan penjajahan, tetapi kita iktiraf Israel yang terus menjajah Gaza," ujar beliau.
Mengenai keputusan sidang kemuncak Arab Islam di Riyadh pula, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, ini kali pertama negara-negara Arab dan Islam membuat ketetapan tegas menerima berlaku genosid dalam serangan Israel terhadap rakyat Palestin.
".... sebelum ini mereka enggan (menyatakan berlaku genosid) dalam resolusi (PBB) mengenai genosid. Kedua, menghentikan hubungan dan diplomatik serta ada embargo mendukung perdagangan serta bantuan ketenteraan oleh negara barat," kata Perdana Menteri.
Beliau menjawab pertanyaan Dr Mohammed Taufiq Johari (PN-Sungai Petani) menyatakan apakah isu utama yang dibangkitkan di sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2024 di Peru, G20 Brazil serta manfaat kepada Malaysia, selain keputusan sidang kemuncak Arab Islam di Riyadh.
#Anwar Ibrahim #kuasa veto #Reformasi PBB #terkini #negara arab
;