Malaysia boleh perkukuhkan sistem pencen melalui skim pencen universal
Bernama
September 14, 2023 23:23 MYT
September 14, 2023 23:23 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia boleh memperkukuhkan sistem pencennya dengan mengguna pakai skim pencen yang dibiayai cukai dengan kadar rata universal.
Skim pencen universal itu dibiayai oleh hasil daripada cukai dan menjamin semua rakyat berhak menerima pendapatan minimum apabila mencapai umur persaraan.
Pakar Polisi Sosial Prinsipal Development Pathways Ltd Stephen Kidd berkata pencen universal bermaksud apabila sesorang mencapai umur persaraan, mereka akan menerima pencen pada kadar yang berpatutan.
Beliau berkata, penentuan kadar pencen yang sama untuk semua orang bergantung kepada kesediaan rakyat untuk membayar cukai pada kadar tertentu yang ditetapkan.
"Ia (dari segi umur persaraan) membolehkan pencen itu (pada awal pelaksanaan) diberikan pada mereka yang berusia lebih tinggi sedikit.
"Dan kemudiannya diturunkan secara berperingkat-peringkat, katakan ia bermula pada usia 75 tahun atau 70 tahun dan kemudian dikurangkan had umur dalam tempoh beberapa tahun pelaksanaan sehingga kepada mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas," katanya kepada pemberita hari ini.
Apabila ditanya tentang pembaharuan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Kidd berkata mengambil contoh Sweden, rakyatnya menikmati pencen universal bersama faedah kanak-kanak universal dan mereka gembira membayar cukai kerana akan mendapat sesuatu sebagai balasan.
"Orang ramai akan menganggap adalah wajar untuk membayar cukai yang lebih kerana anda hidup dalam masyarakat yang lebih baik.
"Itulah sebabnya di negara lain yang mana anda mempunyai (kadar) cukai yang lebih tinggi, contohnya, 45 hingga 50 peratus, orang ramai sangat gembira untuk membayarnya (cukai).
"Mereka tidak merungut kerana mereka mendapat perkhidmatan yang bertaraf dunia sebagai balasannya," tambah beliau.
Semasa Sidang Kemuncak Asia ke-10 Milken Institute yang diadakan pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perlu mengurangkan subsidi kepada golongan kaya sebelum memperkenalkan semula GST.
-- BERNAMA