Malaysia boleh gerakkan Sidang Kemuncak Al-Aqsa bantu Palestin - Aktivis

Afiezy Azaman
Oktober 19, 2023 12:08 MYT
Malaysia perlu lebih agresif untuk membantu rakyat Palestin ketika skala pengeboman Rejim Zionis Israel di bumi Gaza semakin besar dan tidak pernah dilihat sebelum ini, kata aktivis Nadir Al-Nuri.
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu lebih agresif untuk membantu rakyat Palestin ketika skala pengeboman Rejim Zionis Israel di bumi Gaza semakin besar dan tidak pernah dilihat sebelum ini.
Menurut aktivis Palestin, Nadir Al-Nuri, ahli keluarga dan rakannya yang berada di Gaza menyuarakan kebimbangan mengenai sumbangan yang diterima daripada kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) masih berada pada tahap minima.
Katanya, semasa perang 2008, skala serangan Israel sama seperti hari ini, tetapi mereka yang syahid tidak sampai 500 mangsa.
Namun, jelas beliau, sejak 7 Oktober lalu, jumlah mereka yang syahid mencecah lebih 3,000 orang sekali gus memperlihatkan serangan Israel berada di peringkat klimaks.
"Justeru, seharusnya sumbangan dan bantuan kita berikan lebih agresif dan bersungguh-sungguh. Saya fikir Malaysia mempunyai peluang besar kerana kita ada kuasa neutral dan mempunyai pengaruh di peringkat antarabangsa.
"Kita ada peluang untuk mempimpin dunia Islam dalam menyalurkan bantuan kepada Palestin. Banyak lagi yang kita boleh lakukan seperti memberikan sumbangan dengan skala yang lebih besar, kepimpinan utama melawat bumi Gaza sebagai tanda solidariti dan tidak takut terhadap Israel serta pakar-pakar perundangan dalam negara yang boleh bekerjasama dengan NGO untuk membantu mengheret Israel ke muka pengadilan.
"Saya juga yakin kita boleh memimpin negara-negara Islam sebagaimana kita laksanakan pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) 2019. Mungkin kita boleh laksanakan Sidang Kemuncak Al-Aqsa (Aqsa Summit) untuk bantu kumpulkan kuasa Islam yang benar-benar mahu membantu Palestin untuk lakukan sesuatu," katanya kepada Astro AWANI, pada Khamis.
Nadir, dalam masa yang sama turut memaklumkan isteri, keluarga dan rakan-rakannya kini berada di Gaza dan hanya boleh dihubungi sekali sehari melalui aplikasi Whatsapp.
"Saya sentiasa cuba untuk bersedia menerima berita yang paling buruk boleh diterima, kerana itulah yang boleh dilakukan sekarang selain bekerja untuk memenuhi tuntutan ceramah mengenai situasi di Gaza," katanya.
Selain itu, Nadir turut memaklumkan menerima maklumat dari dalam Gaza bahawa pengeboman masih lagi berlaku berikutan ketiadaan perjanjian untuk genjatan senjata dilakukan.
Katanya, sekiranya genjatan senjata tidak dilakukan, proses penyampaian bantuan adalah sukar dan pembangunan semula bandar Gaza akan memakan masa yang lama.
"Saya meminta rakyat Malaysia untuk terus meniupkan semangat ke dalam diri penduduk palestin dengan solidariti kita.
"Sama ada dengan kewangan, demonstrasi dan sebagainya kerana bila ada elektrik dan Internet di Gaza, gambar-gambar demonstrasi dan sumbangan kita itulah yang menjadi sumber kekuatan untuk mereka ketika ini," ujar beliau lagi.
#Perang Palestin-Israel #Sidang Kemuncak Al-Aqsa #Nadir Al-Nuri #israel serang gaza
;