Malaysia boleh dipimpin PM wanita, tapi proses itu ambil masa - Tun M
Rahimah Abdullah
Januari 25, 2021 17:41 MYT
Januari 25, 2021 17:41 MYT
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan suatu hari nanti Malaysia akan diterajui oleh seorang Perdana Menteri wanita.
Bagaimanapun, kata bekas Perdana Menteri itu, proses berkenaan akan mengambil masa.
"Mungkin satu hari nanti akan ada Ketua Negara Wanita, Perdana Menteri umpamanya. Tetapi ini adalah satu proses yang mengambil masa. Kita lihat ini juga berlaku di negara maju," katanya melalui Live Facebook Wanita-Wanita bersama Tun M anjuran Pejuang pada Isnin.
Menurut beliau, sejarah membuktikan bukan semua negara maju dipimpin oleh pemimpin wanita.
Namun begitu, Malaysia, kata Ahli Parlimen Langkawi itu, sekurang-kurangnya lebih awal mengangkat peranan wanita dalam pentadbiran negara.
"Tetapi adakalanya kita lebih awal daripada mereka (negara maju) memberi peranan kepada wanita sebagai pemimpin.
"Mungkin tidak sampai jadi Perdana Menteri tetapi sudah dapat jawatan-jawatan yang bertanggungjawab dan tinggi, memang mereka menjalankan tugas dengan baik," tambahnya.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, golongan wanita paling ramai di universiti dan memainkan peranan penting di institusi pendidikan itu.
Pada masa sama, wanita dahulu, jelas beliau, kurang berpengalaman dan berpendidikan seperti hari ini.
Justeru, menurut Dr Mahathir, pemimpin wanita sekarang mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang lebih mendalam seterusnya mampu memberi sumbangan kepada pembangunan negara.
Malah, katanya, kaum wanita dilihat lebih serius dan lebih bertanggungjawab dalam pekerjaan mereka.
"Wanita ini kalau diberi tugas mereka akan melaksanakannnya dengan baik," tegasnya.
Dengan sifat seorang wanita itu, kata Dr Mahathir, beliau lebih percaya kepada golongan hawa berbanding lelaki.
"Ini kerana kadang-kadang orang lelaki ini dia ada other interest. Namun wanita ini kalau diberi tugas dan sesuatu, mereka akan jalankan dengan baik.
"Ini adalah cara mereka. Kalau dulu mereka di rumah. Lelaki menyara keluarga. Namun yang bekerja betul-betul adalah wanita," ujar Dr Mahathir lagi.