Malaysia bimbang pertandingan karikatur Nabi Muhammad kembali dianjurkan

Bernama
Disember 31, 2019 19:53 MYT
Malaysia berpegang kepada kebebasan bersuara sebagai asas hak asasi manusia namun tegas Wisma Putra tindakan merendahkan dan mencemarkan Nabi Muhammad SAW yang suci melangkaui skop hak tersebut. - WIkipedia
Malaysia hari ini menzahirkan kebimbangan berhubung tindakan terbaru ahli Parlimen Belanda yang juga pemimpin Party of Freedom (PVV), Geert Wilders yang menganjurkan kembali pertandingan karikatur Nabi Muhammad SAW walaupun tindakannya yang sama sebelum ini mendapat tentangan dan kutukan, menurut Wisma Putra.
"Langkah itu tidak wajar dan berniat jahat, hanya akan menimbulkan ketidakharmonian dan kebencian, oleh itu tindakan itu perlu dikutuk. Sehubungan itu, Malaysia menyeru semua individu dan organisasi yang cintakan keamanan supaya menolak tindakan itu," kata Wisma Putra dalam kenyataan pada Selasa.
Malaysia berpegang kepada kebebasan bersuara sebagai asas hak asasi manusia namun tegas Wisma Putra tindakan merendahkan dan mencemarkan Nabi Muhammad SAW yang suci melangkaui skop hak tersebut.
"Ia adalah satu provokasi terhadap Islam dan penganutnya yang lebih satu bilion di seluruh dunia. Ini sudah tentu suatu yang mengaibkan dan tidak boleh diterima," menurut kenyataan itu.
Wisma Putra menjelaskan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang etnik dan agama, akan terus menggalak dan mengekalkan hubungan yang harmoni bukan sahaja dalam kalangan rakyatnya yang berbeza agama dan kepercayaan, tetapi dalam konteks komuniti global yang pelbagai.
-- BERNAMA
#ahli parlimen belanda #geert wilders #karikatur nabi #Nabi Muhammad #parti of freedom #PVV #Wisma Putra
;