Malaysia bimbang dengan keadaan tragik di Myanmar - PM
Astro Awani
Mac 19, 2021 23:06 MYT
Mac 19, 2021 23:06 MYT
KUALA LUMPUR : Malaysia menyuarakan kebimbangan dengan keadaan tragik di Myanmar sejak rampasan kuasa oleh pihak tentera pada Februari lalu yang meragut nyawa orang awam serta mengakibatkan kecederaan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa, kepimpinan tentera di Myanmar mengubah haluan dan memilih jalan penyelesaian yang aman.
Katanya, ketidakstabilan yang menimbulkan keganasan akhirnya hanya akan membawa kehancuran yang sukar dipulihkan pada masa hadapan.
Beliau berkata, perjuangan politik semasa hanya menjadikan rakyat sebagai mangsa.
Perkara itu katanya, jelas bertentangan dengan prinsip yang termaktub dalam Piagam ASEAN untuk mengekalkan dan mempertingkat keamanan, keselamatan dan kestabilan dalam memperkukuh nilai yang berteraskan keamanan di rantau ini.
"Malaysia juga mendesak semua pihak berkaitan supaya tidak menggunakan kekerasan terhadap orang awam yang tidak bersenjata.
"Kami sangat prihatin terhadap kehilangan nyawa dan kecederaan mereka yang tidak bersalah di Myanmar," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Muhyiddin menambah, Malaysia dan komuniti ASEAN tidak dapat terus melihat ketidakstabilan negara anggota itu yang jatuh ke tangan mereka yang mahu mempromosikan kepentingan sendiri.
Beliau juga meminta pemimpin politik yang ditahan di Myanmar termasuk Daw Aung San Suu Kyi, U Win Myint dan rakan-rakan mereka dibebaskan segera tanpa syarat.
Beliau menegaskan kestabilan Myanmar adalah sebahagian daripada kejayaan perpaduan negara serantau ASEAN.
Justeru, katanya, Malaysia, sekali lagi menggesa semua pihak supaya kembali ke meja rundingan dan menyelesaikan kebuntuan politik di Myanmar bagi terus mengelakkan sebarang ketegangan yang semakin meningkat.
"Malaysia menyokong teguh peralihan demokrasi Myanmar, proses perdamaian dan pembangunan ekonomi inklusif. Namun, ini tidak boleh sehingga menjejaskan kebaikan bersama di rantau ASEAN," jelasnya.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyatakan sokongan kepada cadangan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi yang menggesa mesyuarat khas negara-negara Asia Tenggara untuk membincangkan mengenai rampasan kuasa tentera di Myanmar.
Katanya, hanya menerusi perbincangan terbuka dan secara jujur akan dapat meningkatkan peranan ASEAN dalam membantu Myanmar dalam mencari jalan keluar daripada krisi semasa dengan segera.
#Joko Widodo
#ASEAN
#kekerasan Myanmar
#Orang ramai
#Penunjuk perasaan
#meragut nyawa
#menyebabkan kecederaan
#rampasan kuasa
#Aung San Suu Kyi