Malaysia bersedia main peranan lebih aktif dalam hal ehwal global - Saifuddin
Bernama
Januari 1, 2019 06:30 MYT
Januari 1, 2019 06:30 MYT
Malaysia bersedia memainkan peranan lebih aktif dalam hal ehwal global, demi menjadikan dunia lebih aman, adil dan makmur, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.
Dalam perutusan Tahun Baharu 2019 bertemakan "Ke arah Dunia yang Lebih Aman, Adil dan Makmur", beliau berkata Wisma Putra akan secara aktif mengambil bahagian di pentas dunia, melalui organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), ASEAN dan kumpulan lain yang mempengaruhi undang-undang, konvensyen dan peraturan antarabangsa.
"Dalam organisasi yang kita telah menjadi anggota, kita akan mengambil bahagian dengan membuat keputusan, menerajui perbincangan dan menaja resolusi.
"Dalam organisasi yang kita belum menjadi anggota, kita akan berusaha untuk mempengaruhi keputusan, dan membentuk wacana mengenai isu-isu berbangkit yang kita menerapkan kepakaran tempatan," katanya.
Saifuddin berkata satu daripada isu itu ialah Laut China Selatan yang menyentuh keselamatan dan sumber rezeki banyak negara jiran.
"Sekiranya ia kekal sebagai kawasan aman, persahabatan dan perdagangan, dan tidak sebaliknya sebagai kawasan konfrontasi dan konflik, ASEAN dan seluruh dunia dapat memanfaatkan lokasi strategik kita dan kelebihan ekonomi setiap anggota ASEAN," katanya.
Saifuddin berkata Malaysia Baharu juga akan menggunakan suaranya untuk memupuk perdagangan intra-ASEAN sejajar dengan falsafahnya "Memakmurkan Jiran".
"Kita percaya bahawa dengan membangunkan kapasiti semula jadi, kita sebagai sebuah rantau dapat mengukuhkan pasaran bersama kita sebanyak 640 juta orang dan akhirnya mengubah ASEAN menjadi hab pengeluaran - bukan hanya untuk diri kita sendiri, tetapi juga untuk pasaran global, membawa kemakmuran bersama kepada semua," katanya.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata untuk memainkan peranan aktif di peringkat antarabangsa, Malaysia haruslah menjadi model untuk memastikan kestabilan dalam negara dan menjadi contoh bagi pembangunan demokratik dan ekonomi untuk negara-negara sealiran yang lain.
Beliau berkata Malaysia tidak boleh memainkan peranan secara efektif jika dasar luarnya bercanggah dengan harapan dan realiti di negara itu sendiri.
Saifuddin berkata sebagai negara berbilang kaum dan agama, perpaduan penduduk Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk menjadi mercutanda dan kekuatannya.
"Perlembagaan Persekutuan perlu ditafsirkan dan dilaksanakan secara kebijaksanaan dengan mengambil kira latar belakang sejarah, kontrak sosial, dan pilihan terbaik untuk memerintah negara," katanya.
-- BERNAMA