Malaysia bersama ASEAN akan terus cari penyelesaian krisis Myanmar
Bernama
Mac 9, 2023 13:15 MYT
Mac 9, 2023 13:15 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan berhenti untuk meneruskan usaha libat urus bersama negara anggota ASEAN dalam mencari penyelesaian yang muktamad bagi menamatkan krisis politik di Myanmar.
Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata ini kerana konflik yang berlaku di Myanmar itu bukan sahaja perlu ditangani oleh Malaysia, namun penyelesaiannya memerlukan kesepakatan semua anggota ASEAN kerana ia melibatkan isu yang terkait dengan ASEAN.
"Dalam konteks ini (konflik Myanmar), kita memahami bahawa isu dihadapi ini sangat-sangat rumit yang ideanya akan memungkinkan ada kuasa-kuasa lain nanti untuk campur tangan.
"Ia akan mewujudkan satu suasana apa kita sebutkan sebagai flash-point di kawasan tersebut dan akan menjadikan rantau Asia Tenggara ini tidak aman," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang bertanya sama ada Malaysia dan ASEAN bersedia untuk mengadakan sekatan ekonomi terhadap Myanmar bagi memberi tekanan kepada negara itu untuk mengembalikan demokrasi.
Dalam pada itu, Zambry mengulangi pendirian Malaysia untuk tidak mengiktiraf pemerintahan junta di Myanmar susulan rampasan kuasa tentera di negara berkenaan pada 1 Feb 2021.
"Malaysia sesungguhnya sangat prihatin terhadap krisis politik dan kemanusiaan yang berpanjangan di Myanmar malah ia tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda.
"Pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara ASEAN (5PC) masih belum mencapai tahap memuaskan namun Malaysia tetap meneruskan usaha sedia ada dalam membantu Myanmar mencapai penyelesaian terhadap konflik yang berlaku di negara tersebut," katanya.
Selain itu, Zambry berkata meskipun krisis besar yang berlaku di Myanmar ketika ini, namun Kedutaan Malaysia di Myanmar masih diteruskan serta berfungsi untuk memaklumkan mengenai perkembangan yang berlaku di negara itu.
"Meskipun keadaan yang ada sekarang ini agak sukar namun kita tetap meletakkan, meneruskan kedutaan kita di sana melalui kuasa usaha dalam memastikan supaya proses perbincangan dan keterlibatan (bersama anggota ASEAN) dapat diteruskan dari semasa ke semasa.
"Malah Myanmar masih lagi merupakan salah satu daripada anggota ASEAN. Mahu tidak mahu apa berlaku di sana akan mempunyai impaknya di negara kita," katanya menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu kesan hubungan dua hala antara Malaysia dan Myanmar dalam jangka panjang susulan pendirian Malaysia tidak mengiktiraf pemerintahan junta Myanmar.
Tanggal 1 Feb 2023 menandakan genap dua tahun tentera yang diketuai Jeneral Kanan Min Aung Hlaing menguasai Myanmar dan sejak itu, Myanmar bergolak serta mencetuskan pertempuran di seluruh pelosok negara selain menjejaskan ekonomi.
Rejim tentera Myanmar telah melanjutkan perintah darurat selama enam bulan lagi serta menangguhkan pilihan raya junta yang sepatutnya diadakan menjelang Ogos ketika pihak junta bertindak memerangi pejuang antirampasan kuasa di seluruh negara.
-- BERNAMA