Malaysia berpotensi jadi hab penyimpanan bahan api hijau serantau

Bernama
Jun 26, 2023 04:45 MYT
Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Malaysia mengambil bahagian sebagai rakan kongsi dalam kajian rintis itu. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi untuk berkembang menjadi hab penyimpanan bahan api hijau serantau dengan sokongan industri dan kerajaan, menurut kajian oleh Kerajaan Australia melalui Perkongsian untuk Infrastruktur (P4I).
Dalam satu kenyataan pada Isnin, Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia berkata ini adalah bersandarkan penemuan awal kajian berterusan yang dikongsi oleh pakar maritim P4I Dr Jonathan Beard pada Persidangan Perkapalan Hijau yang berlangsung sempena Minggu Maritim Malaysia baru-baru ini.
"Kajian itu juga mendapati metanol merupakan bahan api hijau pilihan yang menerima pelaburan paling banyak daripada syarikat perkapalan," menurut kenyataan itu.
Kajian melalui P4I itu dilaksanakan atas permintaan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) supaya lebih memahami penyimpanan sifar karbon selain meneroka potensi tapak mengisi minyak hijau di Malaysia.
Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Malaysia mengambil bahagian sebagai rakan kongsi dalam kajian rintis itu.
"Kami berharap kejayaan pelaksanaan inisiatif ini akan menjadi pengubah cara dalam mentransformasikan industri maritim serantau dan seterusnya menggalakkan peluang untuk Malaysia menerajui bidang penghapusan karbon maritim," kata Ketua Pegawai Eksekutif PTP Marco Neelsen dalam kenyataan itu.
Selepas persidangan itu, satu perbincangan panel telah diadakan mengenai penyimpanan bahan api hijau dengan wakil dari pelabuhan kontena terbesar Australia, Pelabuhan Melbourne, dan PTP untuk membincangkan pertimbangan teknikal dan komersial penampungan metanol dan inisiatif kemampanan Pelabuhan Melbourne secara meluas.
"Memandangkan saiz dan lokasi strategik PTP, ia berpotensi memain peranan penting di peringkat serantau dan global dalam menyokong penghapusan karbon maritim dan perdagangan.
"Penghapusan karbon dalam industri maritim semakin pesat. Sebagai pelabuhan kontena terbesar di Australia, dengan kira-kira 3,000 kunjungan kapal setiap tahun, kita wajar melihat cara untuk menjalin kerjasama dengan pelanggan, penyedia perkhidmatan dan pengeluar untuk memahami keperluan pasaran," ," kata Pengurus Besar Eksekutif Komersial Pelabuhan Melbourne Shaun Mooney.
Dirasmikan oleh Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Clare Gatehouse, Persidangan Perkapalan Hijau membincangkan cara Australia menyokong penghapusan karbon industri maritim dengan kerjasama Malaysia dan rantau ini.
Perkapalan menyumbang hampir tiga peratus daripada pelepasan global, dengan Pertubuhan Maritim Antarabangsa menetapkan matlamat untuk mengurangkan separuh pelepasan tahunan menjelang 2050 dan mewujudkan koridor perkapalan hijau untuk kapal yang menggunakan bahan api sifar pelepasan.
-- BERNAMA
#Malaysia #hab penyimpanan bahan api hijau #Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia #P41
;