Malaysia berkemampuan tinggi tangani COVID-19 - Ketua Kor Perubatan AS
Astro Awani
Februari 25, 2022 15:52 MYT
Februari 25, 2022 15:52 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia berkemampuan tinggi dalam tindak balas wabak COVID-19, itu pengakuan Pakar Bedah U.S. Indo-Pacific Command (USINDOPACOM) dan Ketua Kor Perubatan, Laksamana Muda Pamela Miller.
Katanya, kumpulan profesional dan pakar di negara ini merupakan aset terpenting dalam usaha Malaysia memerangi virus itu.
“Malaysia amat bertuah kerana mempunyai pasukan profesional yang terlatih dan berbakat yang bersedia membantu negara ini semasa COVID-19 atau sebarang krisis lain.
"Saya sangat kagum dengan keupayaan dan kapasiti mereka dan menganggap diri kami bertuah kerana mempunyai mereka sebagai rakan kongsi serantau,” kata Miller semasa lawatannya ke Malaysia.
Lawatan itu sempena Kumpulan Latihan dan Perundingan Dua Hala (BITACG), sebuah acara antara ketenteraan yang ditubuhkan antara USINDOPACOM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau menambah, pencapaian Malaysia menjadi antara negara teratas dengan populasi vaksin tertinggi menjadi contoh kepada negara lain untuk mengutamakan vaksinasi sebagai jalan keluar daripada wabak itu.
Ketika membincangkan tentang peranan tentera dalam membantu tindak balas wabak, Miller menekankan kepentingan tentera adalah dalam menguruskan logistik berskala besar dan menyediakan kepakaran perubatan.
Pada masa sama, beliau akui penglibatan Malaysia dalam Agenda Keselamatan Kesihatan Global akan membantu memupuk kerjasama serantau untuk berkongsi data masa nyata (real-time) dan tindak balas global terhadap COVID-19 termasuk pandemik pada masa akan datang.
Apabila ditanya berkenaan penambahbaikan, Miller menjelaskan tumpuan harus lebih diberikan kepada pengendalian wabak sebagai satu pasukan dan belajar daripada satu sama lain.
“Mana-mana individu daripada kita, sama ada yang mengamalkan perubatan dalam tentera atau dalam masyarakat awam pada generasi ini, tidak pernah menghadapi wabak jenis ini.
"Ia adalah pengalaman baharu untuk kita semua dan saya fikir ia bukanlah soal memperbaiki kelemahan.
"Keupayaan untuk bertindak balas terhadap pandemik dan apa yang kami pelajari daripada ini adalah satu perjalanan dan ini adalah perjalanan yang kita semua lalui," katanya.
Menurutnya, tentera Amerika Syarikat sedang berusaha untuk meningkatkan keupayaan tindak balas terhadap keperluan serantau.
Ini termasuk memperluaskan bidang kepentingan bersama dan perkongsian seperti merangka doktrin untuk sokongan perkhidmatan kesihatan secara bersama, meneroka medan perang dan penjagaan trauma pra-klinikal, bertukar-tukar pakar pelbagai bidang serta membina pemimpin dalam kalangan profesional perubatan.
BITACG telah ditubuhkan pada tahun 1984 dengan tujuan menyelaraskan aktiviti ketenteraan antara kedua-dua negara merangkumi latihan asas, kursus, dan latihan ketenteraan.
Kumpulan kerja perubatan rasmi telah ditubuhkan tahun ini, mengupayakan hubungan perubatan tentera dengan ketenteraan antara USINDOPACOM dan ATM.