Malaysia berjaya lepasi sasaran pengurangan bahan pemusnah ozon HCFC

Madiha Abdullah
September 23, 2020 21:03 MYT
Tuan Ibrahim melihat alat pemadam kebakaran pesawat ketika melawat pameran selepas sambutan Hari Ozon Sedunia dan Prapelancaran Hari Alam Sekitar Negara 2020. - Bernama
Malaysia berjaya mengurangkan tahap penggunaan bahan pemusnah ozon Hidrokloroflurokarbon (HCFC) melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 19 peratus, berbanding sasaran awal sebanyak 10 peratus.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Malaysia kini sedang dalam proses untuk mencatat pengurangan lebih tinggi sehingga 59 peratus.
Katanya, pengurangan itu berdasarkan Pelan Pengurusan Penghapusan HCFC fasa 2 yang telah bermula sejak 2017 dan berakhir tahun hadapan.
"Bermula pada 2012 sehingga 2040, Malaysia berusaha ke arah penghapusan penggunaan HCFC iaitu bahan pemusnah ozon generasi kedua.
"Kerajaan sedang merangka beberapa strategi untuk membantu pihak industri dalam projek penukaran teknologi yang masih menggunakan bahan pemusnah ozon HCFC kepada teknologi mesra ozon.
"Malaysia merupakan negara membangun yang sangat aktif dalam aktiviti perlindungan lapisan ozon dan sering mendapat pengiktirafan daripada badan-badan antarabangsa.
"Ini merupakan satu kebanggaan dan reputasi baik negara di peringkat global dalam melindungi lapisan ozon," katanya pada majlis sambutan Hari Ozon Sedunia dan prapelancaran Hari Alam Sekitar Negara 2020, di sini, pada Rabu.
Hari Ozon Sedunia yang turut diraikan 197 negara lain jatuh pada tanggal 16 September setiap tahun, manakala Hari Alam Sekitar Negara (21 Oktober), dengan sambutan peringkat nasional akan berlangsung di Kubang Kerian, Kelantan, pada 24 Oktober.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, usaha negara dalam memulihkan lapisan ozon berterusan, termasuk komitmen terhadap Pindaan Kigali yang turut disertai negara-negara peserta Protokol Montreal, bagi membantu mengurangkan impak perubahan iklim.
"Malaysia dalam proses meratifikasi Pindaan Kigali untuk mengurangkan penggunaan Hidroflurokarbon (HFC) yang memberi impak secara langsung kepada pemanasan global.
"Strategi pengurangan HFC akan bermula pada 2024 dengan mensasarkan pengurangan sebanyak 10 peratus pada tahun 2029," katanya.
#alam sekitar #HCFC #Hidrokloroflurokarbon #kerajaan #Malaysia #ozon #Tuan Ibrahim Tuan Man
;