Malaysia beri sumbangan tambahan AS$1 juta kepada UNRWA

Astro Awani
Julai 13, 2024 08:45 MYT
Kerajaan Malaysia mengumumkan sumbangan tambahan berjumlah AS$1 juta kepada United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia mengumumkan sumbangan tambahan berjumlah AS$1 juta kepada United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA).
Wisma Putra dalam kenyataan yang dikeluarkan memberitahu, sumbangan ini bersifat sekali sahaja dan diumumkan semasa Persidangan Pemberian Sumbangan UNRWA yang diadakan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, semalam (Jumaat).
Dengan sumbangan terbaharu ini, jumlah keseluruhan bantuan Malaysia kepada UNRWA adalah sebanyak AS$5.2 juta sejak November 2023.
Jumlah ini adalah tambahan kepada komitmen negara untuk menyumbangkan AS$200,000 setiap tahun dari 2021 hingga 2025.
Melalui Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP), Malaysia juga telah menyumbang kepada pelbagai inisiatif kemanusiaan termasuk pemberian bantuan perubatan, bantuan makanan, pengurusan sanitasi dan kebersihan air, penyaluran bekalan air bersih dan peningkatan kemudahan perubatan untuk rakyat Palestin.
Sehingga 28 Jun lalu, Kerajaan Malaysia telah menerima sumbangan berjumlah RM98,828,028.83.
Daripada jumlah tersebut, RM34,992,378.10 telah disalurkan kepada pelbagai pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil, badan-badan bukan kerajaan dan organisasi-organisasi antarabangsa seperti PBB.
Malaysia tekad menyokong UNRWA dan bersedia bekerjasama rapat dengan PBB dan pemegang taruh lain untuk memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan secara berterusan kepada rakyat Palestin
#UNRWA #PBB #Bantuan Malaysia #rakyat Palestin