Malaysia berhasrat jadi tuan rumah bagi lebih banyak acara e-sukan antarabangsa - Ahmad Zahid

Bernama
Disember 15, 2024 18:47 MYT
Ahmad Zahid berhasrat agar Malaysia bakal menjadi tuan rumah terbaik untuk mana-mana acara e-sukan pada masa hadapan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyatakan kesediaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah bagi lebih banyak acara sukan elektronik atau e-sukan antarabangsa pada masa akan datang.
"Seperti diketahui, M6 (Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang (MLBB) M6) sedang berlangsung di sini, Malaysia menjadi tuan rumah dan kita juga ingin menawarkan kepada penganjur lain untuk memilih Malaysia sebagai tuan rumah.
"Malaysia akan menjadi tuan rumah terbaik untuk mana-mana acara e-sukan," katanya dalam ucapan pada majlis pembukaan perlawanan akhir Kejohanan Dunia MLBB M6 di Axiata Arena di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan menggalakkan pasukan Malaysia untuk bangkit dengan lebih kuat dan bersaing sekali lagi pada kejohanan terbabit tahun hadapan.
Pada perlawanan final lower bracket semalam, pasukan Selangor Red Giant (SRG) kalah kepada pasukan Team Liquid Indonesia (TLID).
"Usah bimbang... tahun depan, SRG dan pasukan Malaysia lain akan berada di sini untuk perlawanan akhir," katanya.
-- BERNAMA
#penganjuran #e-sukan #peringkat antarabangsa #tuan rumah #Ahmad Zahid Hamidi
;