Malaysia bercadang kenakan cukai karbon ke atas pelaburan berkaitan kelestarian
Bernama
September 22, 2020 21:38 MYT
September 22, 2020 21:38 MYT
Malaysia bercadang untuk mengenakan cukai karbon ke atas pelaburan yang berkaitan dengan kelestarian pada masa hadapan, dalam usahanya bagi menangani perubahan iklim, kata Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Zaini Ujang.
Menurut Bank Dunia, cukai karbon secara langsung menetapkan harga pada karbon dengan menentukan kadar cukai ke atas pelepasan gas rumah hijau atau terhadap kandungan karbon dalam bahan api fosil.
Zaini, bagaimanapun, tidak menghuraikan lebih lanjut mengenai cadangan tersebut.
Katanya lagi, bagi menguruskan risiko perubahan iklim, Akta Perubahan Iklim yang baharu juga mungkin akan digubal dalam masa terdekat, bergantung kepada pemahaman penggubal dasar dan permintaan daripada rakyat secara umumnya.
"Kita mungkin menggunakan undang-undang sedia ada, seperti Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, bersama-sama dengannya (Akta Perubahan Iklim yang baharu)," katanya pada Sidang Kemuncak Kelestarian Bumi Yang Lebih Sejuk 2020 di sini hari ini.
Semasa sesi bertajuk "Adakah Anda Bersedia? Peraturan-Peraturan Yang Sukar, Tetapi dengan Insentif", Zaini mendedahkan kerajaan sedang menyemak semula Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 bagi meliputi perubahan iklim, kelestarian serta mandat pengurusan dan pelaporan gas rumah hijau.
"Buat masa ini, kita sedang merancang untuk mengkaji keperluan perundangan perubahan iklim.
"Jika kita memerlukannya, kita akan merangka peraturan berkaitan," katanya, sambil menambah bahawa ia akan merangkumi pelaporan sektor swasta dan instrumen ekonomi, mencontohi apa yang telah dilakukan di New Zealand, negara pertama di dunia yang menuntut pelaporan risiko iklim.
-- BERNAMA
#Akta Perubahan Iklim
#cadangan
#cukai
#cukai karbon
#kerajaan
#Malaysia
#pelaburan
#rakyat
#rumah
#undang-undang