Malaysia berada di landasan untuk menjadi negara pintar - SKMM

Bernama
September 30, 2015 08:03 MYT
Jalur lebar mudah alih kekal sebagai penyumbang terbesar langganan jalur lebar pada 2014.
Malaysia berada di landasan untuk mengembangkan keupayaan komunikasi dan liputan ke arah menjadi negara pintar menjelang 2020, kata Ketua Bahagian Kawal Selia Pasaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Laila Hassan.
Beliau berkata berdasarkan Laporan Prestasi Industri 2014, kadar penembusan telefon mudah alih di Malaysia telah melepasi 148.5 peratus manakala kadar penembusan jalur lebar isi rumah adalah 70.2 peratus pada akhir 2014.
Beliau berkata ini disokong oleh pencapaian sebanyak 27.8 peratus liputan perkhidmatan LTE 4G yang melepasi sasaran 20 peratus tahun ini.
"Jaringan hubungan telah berkembang secara menyeluruh dalam konteks tetap, mudah alih, dan dalam talian termasuk siaran digital.
"Kita perlu memastikan bahawa rangkaian kami boleh menampung trend menyampaikan kandungan dan memenuhi e-niaga," katanya.
Laila berkata, menurut laporan itu, projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) telah mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 21 peratus kepada 810,000 langganan daripada 670,000 langganan pada 2013.
Sementara itu, jalur lebar mudah alih kekal sebagai penyumbang terbesar langganan jalur lebar pada 2014, dengan lebih 85 peratus daripada jumlah langganan jalur lebar (20.7 juta).
"Pada masa yang sama, terdapat anjakan paradigma dalam trend daripada televisyen kepada platform rangkaian dalam talian dan sosial. Pada 2014, pertumbuhan perkhidmatan data ialah antara 25 peratus dan 40 peratus.
"Ini menunjukkan bahawa pelaburan dalam 4G LTE secara berterusan dan meningkat sepanjang infrastruktur jalur lebar menyokong pertumbuhan permintaan data," katanya.
Justeru, beliau berkata keupayaan rangkaian jalur lebar akan meningkat dengan ketara oleh penggunaan termasuk video mudah alih, yang dijangka berkembang sebanyak 45 peratus setiap tahun sehingga 2020.
Laila berkata ketika ini, adalah penting bagi Malaysia untuk mengukuhkan asas-asas pengeluaran kandungan kreatif untuk memanfaatkan peningkatan permintaan bagi kandungan seperti itu jika dibandingkan dengan platform dalam talian dan mudah alih.
"Hari ini, permainan, analisis data, TV dalam talian, kesihatan, pengangkutan dan fungsi yang lain disokong oleh aplikasi atau sambungan Internet muncul sebagai trend dalam gaya hidup digital Malaysia," katanya.
Begitu juga, kata beliau, kemunculan platform media sosial termasuk aplikasi mudah alih menawarkan peluang untuk e-dagang dan membeli-belah dalam talian untuk berkembang.
"Ini membolehkan perkhidmatan pos dan kurier melengkapi persekitaran ini dengan menawarkan penghantaran logistik dan produk. Dengan itu, perkhidmatan pos mencatatkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 12.6 peratus kepada RM1.52 bilion daripada RM1.35 bilion," katanya.
Laila berkata pencapaian industri komunikasi dan multimedia (C&M) adalah stabil dengan keseluruhan hasil pertumbuhan sebanyak 3 peratus pada 2014 kepada RM58.91 bilion dan menyumbang 12.6 peratus daripada permodalan pasaran Bursa Malaysia sebanyak RM1,651.17 bilion.
Beliau berkata sektor telekomunikasi dan penyiaran, masing-masing menyumbang 78 peratus dan 10.5 peratus kepada jumlah hasil industri C&M.
#jalur lebar #komunikasi #Laila Hassan #liputan #negara pintar #SKMM #telefon mudah alih
;