Malaysia berada di landasan capai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 - EIC

Bernama
Ogos 14, 2023 04:15 MYT
Azman bercakap pada sidang media mengenai Persidangan Minyak dan Gas Asia 2023 dan EIC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, 14 Ogos 2023. -- fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia berada di landasan untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersihnya menjelang 2050, namun perlu terus menarik pendanaan pelabur untuk mengekalkan momentum peralihan tenaga, kata Majlis Industri Tenaga (EIC).
Pengarah Serantau EIC bagi Asia Pasifik Azman Nasir berkata, sehubungan itu, pendanaan luaran diperlukan untuk melaksanakannya.
"Kita mesti melaksanakan projek tenaga boleh baharu atau projek peralihan tenaga yang menarik untuk dana sebenar masuk, (tetapi seperti) mana-mana projek, kesemuanya berkenaan infrastruktur.
"Pelabur membelanjakan berbilion dolar, dan pada akhirnya, yang mereka ingin lihat adalah pulangan (pelaburan mereka)," katanya kepada pemberita di sini semalam selepas mengumumkan penganjuran Persidangan Minyak dan Gas Asia 2023 yang akan diadakan pada 13 hingga 15 Sept ini.
Azman berkata demikian ketika ditanya berhubung laporan EIC baru-baru ini berkenaan peralihan rantaian bekalan tenaga kepada minyak dan gas berikutan usaha-usaha yang kurang konsisten dan menguntungkan dalam projek hijau.
Menurut laporan itu, peralihan tersebut telah mencetuskan kebimbangan bahawa komitmen terhadap sifar bersih menjelang 2050 akan turut tertangguh.
"Malaysia boleh mencapai pelepasan karbon sifar bersihnya menjelang 2050, namun bergantung kepada aspek lain yang akan kita lakukan. Dari segi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, saya tidak sabar-sabar menantikannya. Ini kali pertama kita mempunyai pelan tindakan yang terperinci yang akan kita laksanakan," kata Azman.
EIC yang berpangkalan di United Kingdom adalah antara persatuan perdagangan tenaga terbesar di dunia yang membekalkan barangan dan perkhidmatan kepada industri tenaga di seluruh dunia.
Ditubuhkan pada 1943, EIC adalah pertubuhan tidak berasaskan keuntungan dengan keahlian melebihi 900 syarikat di seluruh dunia dan ahli-ahlinya terdiri daripada kontraktor antarabangsa utama serta operator dan pengilang kepada syarikat produk dan perkhidmatan yang lebih khusus.
-- BERNAMA
#projek hijau #pelepasan karbon sifar bersih #EIC #peralihan tenaga
;