Malaysia belum merdeka, rakyat 'dijajah' kerajaan - Dr Mahathir

Madiha Abdullah
Ogos 24, 2024 06:15 MYT
Kata Dr Mahathir, rakyat tidak bebas bersuara dan mengkritik kerajaan dalam banyak hal termasuk membabitkan 3R. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, walaupun sudah bebas dari penjajah tetapi negara sedang berhadapan dengan satu bentuk penjajahan yang dilakukan oleh kerajaan.
Ini kerana, dakwa Dr Mahathir, rakyat tidak bebas bersuara dan mengkritik kerajaan dalam banyak hal termasuk membabitkan isu agama, raja dan agama (3R).
Dr Mahathir mendakwa, undang undang 3R adalah tidak sah kerana ia dikuatkuasakan tanpa memerlukan kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, seperti kebiasaannya.
“Apabila kita bercakap, polis boleh soal kita, (malah) boleh kurung kita. Ini bermakna ia undang-undang yang dikuatkuasakan polis dalam negara ini.
“Sebab itu saya kata kita tidak merdeka. Rakyat tidak merdeka,” katanya.
Tambah Dr Mahathir lagi, banyak pihak mempunyai peluang untuk bersuara bagi memperbaiki kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam tetapi memilih untuk tidak melakukannya.
“Kita bertanggungjawab untuk tentukan kehidupan kita jadi baik dengan usaha sendiri. Tetapi ada pihak yang diberi peluang tapi tak buat apa-apa, wakil rakyat- pun tak nak bercakap (untuk) pertahan kebenaran.
“Ada pihak lain yang ada peluang untuk berkhidmat untuk agama dan bangsa, tetapi tak keluar mengundi pun. Bukan susah, minta keluar mengundi saja.
“Walaupun kita akui negara ini hak kita, tetapi apabila hak kita dicemari, kita tak buat apa-apa.
“Kalau kita keluar mengundi, pilih wakil rakyat yang boleh bercakap, ia boleh membantu negara,” katanya pada Program Bicara Merdeka: Masa Depan Islam dan Melayu, pada Sabtu.
Turut hadir ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata, bagi memastikan umat Islam dan Melayu terjaga, negara harus berbalik kepada ajaran agama Islam di mana setiap golongan masyarakat, baik raja, pemimpin dan rakyat, tertakluk di bawah peraturan yang sudah ditetapkan.
Katanya, Islam memberi kebebasan untuk manusia mencerna peraturan sendiri namun ada batasnya, dan pemimpin tidak mempunyai lesen untuk melanggar peraturan yang ada.
“Orang lain kena ikut peraturan tapi dia boleh lawan, maka dengan sendiri dia berlagak jadi tuhan.
“Kalau pemimpin berlagak jadi tuhan, ini akan merosakkan negara. Pemimpin adalah pemegang amanah, rakyat taat mengikut amanah masing-masing,”katanya.
#Mahathir Mohamad #Abdul Hadi Awang #Islam #Melayu #Merdeka
;