Malaysia, Belanda jalankan ekspedisi bawah air bersama
Bernama
Julai 5, 2024 06:50 MYT
Julai 5, 2024 06:50 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Belanda menjalankan ekspedisi menyelam bersama ke lokasi dua bangkai kapal selam Tentera Laut Diraja Belanda dari Perang Dunia II di perairan Malaysia.
Menurut kenyataan bersama, satu pasukan pakar tinjauan bawah air dan penyelidik dari Belanda dan Malaysia menjalankan ekspedisi bersama itu dari 17 hingga 30 Jun.
"Pasukan penyelidik mencari lokasi bangkai kapal K-XVI dan O-20, dua kapal selam Tentera Laut Diraja Belanda yang tenggelam di perairan Malaysia semasa Perang Dunia II.
Penemuan awal menunjukkan bahawa bangkai kapal K-XVI tidak ditemukan dan dipercayai telah diselamatkan. Sebaliknya, bangkai kapal O-20 disahkan berada di lokasi yang direkodkan," menurut kenyataan bersama itu.
Menurut kenyataan itu penemuan ekspedisi dan tindakan susulan akan dibincangkan antara Belanda dan Malaysia.
Satu upacara memperingati dan menghormati 36 kru di K-XVI dan tujuh kru di O-20 yang terkorban ketika bertugas di dalam kapal selam berkenaan diadakan oleh delegasi Belanda semasa ekspedisi itu, kata kenyataan itu.
"Ekspedisi bawah air bersama ini memberikan peluang yang sangat baik untuk Belanda dan Malaysia memperkukuhkan hubungan dua hala, terutamanya dalam bidang latihan dan pembinaan kapasiti berkaitan arkeologi maritim dan pengurusan warisan budaya bawah air," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, kerja lapangan dilakukan sebagai kerjasama antara Malaysia-Belanda. Pasukan dari Malaysia diketuai oleh Kementerian Luar dengan kerjasama Kementerian Pertahanan (Tentera Laut Diraja Malaysia), Kementerian Dalam Negeri (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Jabatan Warisan Negara), Jabatan Perdana Menteri (Majlis Keselamatan Negara), dan Kementerian Pengangkutan (Jabatan Laut Malaysia).
Sementara itu, pasukan dari Belanda diketuai oleh Agensi Warisan Budaya Belanda (Kementerian Pendidikan, Kebudayaan dan Sains), dengan kerjasama Kementerian Pertahanan (Tentera Laut Diraja Belanda), dan Kementerian Luar (Kedutaan Belanda di Kuala Lumpur), menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA