Malaysia bekerjasama dengan negara pengeluar utama dunia stabilkan harga getah
Bernama
November 14, 2023 14:00 MYT
November 14, 2023 14:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus giat membantu pekebun kecil yang terkesan akibat penurunan dan ketidakstabilan harga getah di pasaran menerusi kerjasama dengan negara pengeluar getah utama dunia berdasarkan kerangka Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC), kata Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Timbalan menterinya, Datuk Siti Aminah Aching berkata kerajaan sentiasa memahami dan mengambil maklum kegusaran rakyat berhubung isu ketidaktentuan dan harga getah yang rendah di pasaran.
Beliau berkata di peringkat antarabangsa, Malaysia bekerjasama dengan negara pengeluar getah utama dunia di bawah kerangka ITRC untuk menstabilkan harga melalui pengurusan bekalan dan meningkatkan penggunaan getah asli dalam kalangan negara pengeluar.
"Pengenalan mekanisma harga getah untuk kesinambungan kehidupan pekebun kecil di peringkat antarabangsa berada di peringkat cadangan bagi memberikan manfaat kepada pekebun kecil.
"Usaha ini adalah untuk membenarkan harga getah asli berada dalam julat harga yang telah ditetapkan untuk mengurangkan ketidaktentuan harga getah dunia," katanya pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berhubung langkah yang diambil bagi memastikan harga getah dapat ditingkatkan sesuai dengan kenaikan kos sara hidup.
Siti Aminah turut menjelaskan bahawa harga getah dipengaruhi oleh pelbagai faktor antaranya penawaran dan permintaan getah dunia, maka campur tangan daripada kerajaan adalah tidak mudah dan pada tahap yang minimum kerana industri getah negara adalah berorientasikan eksport dan pengeluaran negara juga hanya sekitar 3.3 peratus daripada jumlah pengeluaran dunia.
Kerajaan melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah melaksanakan projek Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) melalui Konsep Koperasi Pekebun dan Pengusaha Ladang Getah Tempatan.
Usaha itu bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah dengan cara memendekkan rangkaian bekalan dengan melibatkan pekebun getah dan rantaian industri getah, katanya.
"Projek ini dijangka menambah nilai getah, memberi pulangan dan pendapatan yang lebih baik kepada pekebun kecil getah
"Sehingga Ogos 2023, peserta program TARGET telah melepasi fasa inkubator dan seterusnya ke peringkat pemantauan bagi proses pembukaan pusat pengumpulan getah di lokasi yang bersesuaian," katanya.
-- BERNAMA